‘Ironman’ jaga kepentingan Suku Temuan Melaka

Oleh Shaidathul Suhana Ros

MELAKA – Terkenal sebagai ‘Ironman Melaka’, Besi Dulah bukanlah adiwira sebaliknya adalah Tok Batin bagi Orang Asli Suku Temuan, di Alor Gajah di sini.

Sebelum pertama kali bertemu tidak lama dulu, penulis membayangkan beliau seorang yang ‘bertulang besi, berurat dawai’ berdasarkan pelbagai kisah yang pernah didengar mengenai beliau.

Memang tidak salah telahan saya, Besi, 37, mempunyai susuk tubuh yang tegap, maka tidak hairanlah jika beliau dipanggil ‘Ironman’ selain bertepatan nama sebenarnya, Besi.

Malah, kebanyakan masyarakat kampung serta kalangan Exco Kerajaan Negeri memanggilnya dengan nama ‘Ironman’.

Kedatangan saya bersama-sama jurugambar di Kampung Orang Asli Kubang Badak, Tebong, kira-kira 30 kilometer dari bandar Alor Gajah dan 40 kilometer dari pusat bandar Melaka, disambut Besi dan berapa orang kampungnya lengkap memakai perhiasan anyaman daun kelapa di kepala.

Tok Batin Orang Asli suku Temuan Besi Dulah, (dua, kiri) meluangkan masa bertemu dengan anak buahnya di Kampung Orang Asli Kubang Badak, Tebong di sini. – Bernama

“Selamat datang tuan dan puan. Jemputlah masuk ke balai raya, tetapi kami mohon maaf kerana keadaan sini serba kekurangan, tidak ada kipas angin atau kerusi empuk. Maafkan kami ya,” tersusun kata-kata Tok Batin itu menyambut kehadiran kami untuk menemu bual beliau.

Balai raya yang menjadi tempat pertemuan itu bertingkap nako, dilengkapi kerusi, meja dan papan hitam yang ketika itu tertera tulisan kapur ‘Selamat Datang Bernama’. Beberapa kakitangan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Melaka turut hadir pada majlis itu.

Suku Temuan umumnya berambut ikal, mempunyai mata berwarna coklat pekat dan bibir tebal sedikit, berkulit agak cerah, bertubuh sederhana namun agak tinggi, dikatakan sebagai yang paling kacak antara suku kaum Orang Asli yang lain.

Berdasarkan rekod JAKOA, Suku Temuan adalah suku keempat terbesar di dalam hierarki kaum Orang Asli. Jumlah mereka di Semenanjung Malaysia seramai kira-kira 30,000 orang.

Tok Batin Muda

Besi, seorang yang mesra dan peramah dilantik oleh masyarakatnya menjadi Tok Batin sejak Jun 2017 berikutan ketokohan serta kebolehannya. Beliau juga mempunyai pengetahuan luas dalam pelbagai perkara terutamanya hal berkaitan adat istiadat dan kemasyarakatan.

Meskipun tidak pernah menjangka, namun atas rasa tanggungjawab, beliau tidak menolak perlantikan itu dan menganggapnya sebagai cabaran serta peluang kepada golongan muda seperti beliau untuk memainkan peranan dalam pentadbiran masyarakat Orang Asli.

“Sejak berumur 21 tahun saya aktif dalam pelbagai aktiviti di kampung ini. Malah apabila ada perjumpaan dengan masyarakat Orang Asli terutama di luar Melaka, mereka memilih saya sebagai wakil, antaranya untuk membincangkan isu semasa berkaitan golongan belia kami.

“Tidak dinafikan, ketika umur begitu semestinya mahukan kebebasan, tapi saya lebih gemar bercampur dengan golongan yang lebih dewasa kerana ia boleh mematangkan fikiran,” kata anak jati Kampung Kubang Badak itu.

Beliau yang juga Tok Batin bagi Kampung Tebong Stesen, hanya bersekolah setakat darjah tiga berikutan faktor ekonomi keluarga.

Ubah persepsi

Mengakui usaha untuk meningkatkan pencapaian pendidikan anak-anak masyarakat Orang Asli sebagai cabaran utama, Besi berkata tahap kesedaran mengenai pendidikan masih rendah dalam kalangan ibu bapa berikutan kurang pendedahan dan sokongan moral.

“Kita sedar banyak peluang dan ruang disediakan untuk masyarakat Orang Asli, namun persepsi ibu bapa mengenai pendidikan masih rendah.

“Saya sememangnya bimbang akan kelangsungan masa depan generasi muda yang dilihat sedikit tercicir daripada arus pembangunan. Kita tidak boleh paksa mereka untuk belajar sebaliknya memberi galakan dan sentiasa mengingatkan mereka bahawa pendidikan sangat penting kerana ia mampu mengubah nasib mereka,” tegas beliau.

Dianggarkan terdapat kira-kira 150 penduduk di Kampung Kubang Badak manakala 50 orang lagi di Kampung Tebong Stesen. Seperti juga Besi, kebanyakan penduduk di situ mencari rezeki dengan melakukan kerja-kerja kampung dan mencari hasil hutan. Bagaimanapun ada juga kalangan generasi muda yang keluar bekerja di kilang sama ada di pekan atau bandar terdekat.

Anak-anak penduduk di situ belajar di Sekolah Kebangsaan Tebong dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tebong yang terletak kira-kira lima kilometer dari kampung berkenaan. Mereka dihantar oleh ibu bapa berulang alik ke sekolah setiap hari.

Menurut Portal Data Terbuka, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri, sehingga Mac lepas, terdapat kira-kira 1,430 penduduk Orang Asli dari suku Temuan di seluruh Melaka.

Minta pusat Internet

Meskipun masyarakat di kedua-dua kampung itu tinggal di kawasan agak terpencil, mereka tidak mahu ketinggalan daripada arus kemodenan teknologi, malah menikmati kemudahan liputan talian mudah alih dan Internet di kawasan penempatan itu.

Menurut berkata liputan Internet dan talian telefon mudah alih adalah antara keperluan masa kini terutamanya dalam urusan harian termasuk perbankan, e-mel dan carian maklumat terutamanya bagi masyarakat di situ yang jauh dari bandar.

“Kami juga menggunakan aplikasi Facebook, WhatsApp dan media sosial lain. Medium ini memudahkan kami memperoleh maklumat dan mengetahui perkembangan semasa negara ini.

“Dengan adanya kemudahan teknologi dengan kadar yang rendah dan berpatutan, mudah bagi kami untuk menghubungi pihak luar seperti hospital atau JAKOA sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.

Besi berkata, selain kemudahan sedia ada, penduduk di kampung itu berharap agar kerajaan menyediakan pusat Internet bagi membantu anak-anak mereka mendapatkan bahan pembelajaran selain pelbagai maklumat mengenai peluang pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi.

“Tidak semua masyarakat Orang Asli memiliki telefon mudah alih sendiri, apatah lagi komputer. Kita harap kemudahan pusat Internet dapat membantu dan memberi manfaat kepada mereka,” kata bapa kepada seorang anak damit lelaki itu.

Jambatan laluan rezeki

Penduduk kampung Besi juga sangat mengharapkan sebuah jambatan baharu agar dapat berulang-alik ke seberang sungai untuk mencari rezeki.

Menurut beliau, ini kerana jambatan asal musnah akibat kegiatan mengorek dan mengambil pasir yang didakwa berlaku sejak kira-kira 15 tahun lalu.

Masyarakat kampung terpaksa berjalan kaki meredah sungai yang selebar kira-kira 30 meter dengan kedalaman air satu meter untuk mengangkut hasil buah-buahan, kelapa sawit dan getah dari tanah di seberang sungai. Hasil hutan dijual kepada peraih dan ada juga yang dijual di pekan Alor Gajah.

Justeru, Besi memohon kerajaan negeri Melaka membina jambatan baharu bagi memudahkan penduduk kampung mencari rezeki dan selain demi keselamatan penduduk di situ.

“Kira-kira 50 Orang Asli berulang-alik dari rumah ke seberang sungai setiap hari dan mereka terdedah kepada bahaya.

“Paling berbahaya apabila hujan dan paras air sungai naik mendadak hingga setinggi tiga meter sehinggakan kami terpaksa membatalkan hasrat untuk mengangkut hasil kampung,” kata Besi. – Bernama