Irving bantah rancangan NBA di Orlando

NEW YORK, 14 JUN – Bintang Brooklyn Nets, Kyrie Irving adalah antara pemain NBA mengambil bahagian dalam sidang video yang mengemukakan keraguan untuk menyambung musim seperti yang dirancang di pusat kuarantin di Florida, menurut beberapa laporan.

ESPN dan The Athletic, memetik sumber tanpa nama, melaporkan isu keadilan perkauman dan perbincangan yang sedang berlangsung mengenai penyambungan semula kempen NBA adalah antara topik yang disentuh dalam sesi persidangan kelmarin dengan hampir 100 pemain mengikuti persidangan itu.

Yang lain juga menyatakan kebimbangan dengan masalah mengenai langkah-langkah keselamatan di Orlando dan COVID-19 setelah berlakunya penularan wabak yang memaksa penutupan kempen pada bulan Mac lalu. “Saya tidak menyokong untuk berkunjung ke Orlando,” kata Irving. “Sesuatu berbaur mencurigakan.” Joel Embiid, Carmelo Anthony, Donovan Mitchell, Kevin Durant, Chris Paul dan Dwight Howard juga antara yang dilaporkan menyertai persidangan tersebut.

Irving diketepikan dalam beberapa perlawanan musim ini setelah menjalani pembedahan di bahunya tiga bulan lalu. Laporan mengatakan para pemain bersetuju bahawa mereka perlu menunjukkan perpaduan dalam membuat sebarang keputusan dan timbulnya kebimbangan mengenai kesan ekonomi ke atas pemain.

Ejen dilaporkan telah memberi amaran kepada pemain bahawa mereka boleh mengalami kerugian sehingga AS$1.2 bilion dalam gaji mereka jika musim tidak berakhir dan mendorong NBA memilih jalan keluar dari perjanjian tawar-menawar kolektifnya dengan kesatuan itu, yang boleh menyebabkan syarat gaji yang lebih buruk pada musim akan datang dengan pandemik sekarang cenderung mengurangkan pendapatan yang dijangkakan sebelumnya. – AFP

Aksi Kyrie Irving dari Brooklyn Nets ketika menentang Atlanta Hawks di Barclays Center di Bandar New York pada perlawanan yang lalu. Kyrie Irving adalah antara pemain NBA dalam sidang video yang mengemukakan keraguan untuk meneruskan musim seperti yang dirancangkan di Florida. – AFP