IS mengaku dalangi dua serangan nekad

BAGHDAD, 22 JAN – Militan Islamic State (IS) mendakwa mendalangi dua insiden pengeboman nekad yang menyebabkan 32 terbunuh dan mencederakan 110 orang di tengah bandar itu semalam.

Kementerian Dalam Negeri Iraq berkata, dalam insiden pertama, seorang penyerang nekad dilapor berpura-pura jatuh sakit di pasar yang sibuk dan meletupkan bom dipasang di badannya sebaik dikerumuni orang ramai. Pasar terbuka itu merupakan tempat jualan pakaian terpakai di gerai-gerai dikunjungi orang ramai selepas sekatan akibat pandemik COVID-19 di seluruh negara ditarik balik.

Jurugambar AFP yang berada di tempat kejadian berkata, pasukan keselamatan segera menutup kawasan itu apabila darah terpercik pada pakaian yang bertaburan di pasar berkenaan manakala anggota-anggota paramedik sibuk menyelamatkan mangsa kejadian.

Kementerian Kesihatan Iraq berkata mangsa yang dilaporkan meninggal semuanya disahkan maut di tempat kejadian.

Untuk rekod, militan IS mengeluarkan dakwaan bahawa ia bertanggungjawab dalam serangan itu menerusi saluran dalam taliannya selepas tengah malam. Sementara itu, Presiden Iraq, Barham Saleh mengutuk serangan itu dengan berkata kerajaannya menentang percubaan seumpama itu bagi menjadikan Iraq tidak stabil. Insiden itu turut dikutuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), AS dan Kesatuan Eropah (EU). – AFP

Gambar fail menunjukkan anggota keselamatan dan orang awam berkumpul di tapak serangan bom di sebuah pasar menjual pakaian terpakai di Baghdad, Iraq. Kumpulan IS mendakwa bertanggungjawab atas serangan tersebut. – AP