ISB anjur Storytelling and Week Book

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Bagi menggalakkan para pelajar untuk terus menguasai ilmu dalam perbendaharaan kata dan bahasa, Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) telah memulakan sesi akademiknya dengan aktiviti Storytelling and Week Book, baru-baru ini.

Berangkat bagi menyertai acara tersebut ialah cucunda-cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman.

Acara selama seminggu itu menyaksikan para pelajar dan guru mengambil bahagian dalam beberapa aktiviti yang menarik termasuk bengkel bercerita daripada Mister Storyfella, di mana semasa menyampaikan bengkel tersebut, beliau memberikan tips dan inspirasi kepada para pelajar dalam kaedah bercerita.

Sepanjang acara tersebut, para pelajar juga mengenakan pakaian mengikut watak buku kegemaran mereka.

ISB juga telah mengadakan pertandingan menulis cerita pendek yang dibukakan kepada semua murid dan ibu bapa, di mana pertandingan tersebut dimenangi oleh pelajar Tahun 8, Ella Carpenter, sebagai pemenang keseluruhan. The Storytelling and Book Week bertujuan untuk menggalakkan dan memberi inspirasi dan minat pelajar dalam membaca kerana ia dapat membantu meningkatkan prestasi pelajar dalam berbagai bidang subjek.

YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah bergambar ramai bersama pelajar lainnya semasa acara tersebut.
YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah dan YTM Pengiran Muda Muhammad Aiman ketika menghadiri acara tersebut.