Sunday, January 26, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    ISB Beacon Journal pamer karya pelajar

    Oleh Pg Fairol RMF

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jun – Beberapa pelajar Tahun 12 dari Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) mempamerkan kemampuan dan imaginasi mereka ketika jilid kedua ‘ISB Beacon Journal’ dilancarkan, hari ini.

    Pelancaran jurnal dengan antologi cerita pendek, puisi, gambar dan karya seni para pelajar di Kampus ISB Sungai Hanching itu diadakan bagi meraikan pencapaian kumpulan penerbitan dan penyumbang jurnal yang menganggap ‘Beacon Journal’ sebagai platform untuk mempamerkan keghairahan jurnalistik dan bakat para pelajar.

    Menurut Ketua Bahagian Bahasa Inggeris ISB, Samantha Chesler, matlamat jurnal itu adalah untuk mempamerkan karya pelajar ISB Tahun 7 hingga 13 yang benar-benar berbakat kepada masyarakat Brunei.

    Acara pagi tadi juga menyaksikan penyumbang jurnal membaca karya mereka kepada penonton diikuti dengan persembahan konsert daripada pelajar Tahun 8.

    ‘Beacon Journal’ yang dilancarkan pada bulan September 2016 bermula dengan sebuah kumpulan penyunting yang terdiri daripada para pelajar Tahun 6 dan 12 yang menetapkan tema berbeza setiap bulan dan menjemput pelajar dari Tahun 7 hingga 13 untuk menyampaikan karya fiksyen, bukan fiksyen, puisi, fotografi dan lukisan berhubung dengan tema berkenaan.

    ISB melancarkan jilid kedua ‘ISB Beacon Journal’ yang dihasilkan oleh para pelajarnya.

    Sebaik sahaja semua penyertaan diterima, kumpulan penyunting memilih cerita terbaik untuk dimasukkan ke dalam penerbitan.

    Edisi tahun ini menyaksikan pasukan editorial Tahun 8 dan 12 tampil dengan tema ‘Permulaan, Takut, Cinta dan Kebebasan’ dan memilih sumbangan daripada 37 pelajar yang berlainan untuk diterbitkan.

    Ketika ditanya mengenai motivasi kumpulan penyunting yang memulakan inisiatif ini, Samantha Chesler menyatakan, “Kami mempunyai banyak bakat seni di ISB termasuk beberapa penulis dan penyair yang hebat.

    “Jadi terdapat keperluan untuk meraikan usaha seni mereka yang turut memuatkan lukisan, fotografi dan ilustrasi untuk menggariskan kemahiran mereka,” tambah beliau.

    Menurut Chesler, selepas kejayaan pelancaran jilid pertama, ‘Beacon Journal’ dijadikan sebagai penerbitan tahunan dan jurnal ini akan dijual di Kedai Buku ISB.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda