BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Seramai 60 orang pelajar dari Tahun 4, 5 dan 6 Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) telah menyertai Kejohanan T-Ball Brunei Junior Sports League (BJSL) yang diadakan di Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) hari ini.
Turut berkenan menyertai kontinjen ISB ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak ‘Abdul Haseeb.
Kejohanan T-Ball telah menyaksikan persaingan sengit antara beberapa pasukan-pasukan yang ikut serta dari ISB, ISB Kuala Belait, JIS, Sekolah Panaga, dan Sekolah Hornbill.
Pasukan-pasukan dari setiap Tahun dan setiap sekolah bersaing dalam format liga. Meskipun Pasukan Tahun 6 ISB berjaya menduduki kedudukan teratas divisyen mereka, pemenang keseluruhan kejohanan tersebut adalah Sekolah Panaga, diikuti oleh JIS di tempat kedua, manakala ISB dan Sekolah Hornbill berada di tempat ketiga.
Menurut guru jasmani ISB, Grant Macpherson, “BJSL terdiri daripada beberapa acara sukan seperti olahraga, bola sepak, renang, tag rugby dan bola jaring.” Menurut beliau lagi, kejohanan antara-sekolah seperti ini adalah baik untuk memberikan persaingan sihat bagi para pelajar muda di Brunei.




