Tuesday, November 5, 2024
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    ISB BGIC perluas pemahaman pelajar terhadap isu global

    Oleh Nurdiyanah R. 

    Selaras dengan inisiatif memperluaskan pemahaman pelajar terhadap kewarganegaraan global, Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) telah menganjurkan Persidangan Isu-isu Global Borneo ISB (ISB BGIC) kali ke-18 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, baru-baru ini.

    Persidangan yang berlangsung selama tiga hari bermula 25 Jun lalu ini dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) sekali gus sebagai menyokong acara Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2022.

    Pada tahun ini, ISB BGIC menumpukan terhadap Matlamat Pembangunan Mampan ke-3 (SDG3) iaitu Kesejahteraan dan Kesihatan Yang Baik (Good Health and Well Being), yang menyaksikan penglibatan hampir 300 perwakilan dari 21 buah sekolah di seluruh negara.

    Menerusi persidangan itu, para delegasi melakukan hujah-hujah perbahasan mereka serta membuat keputusan mengenai resolusi yang dikemukakan oleh jawatankuasa-jawatankuasa alam sekitar, hak asasi manusia, sosioekonomi dan politik, menerusi pembentangan topik-topik forum antaranya mengenai vaksinasi, kadar kematian anak damit, wabak, kesejahteraan mental dan akses kepada penjagaan kesihatan.

    Berkesempatan ditemui penulis, salah seorang pengerusi bagi salah sebuah forum yang berjudul ‘Keperluan infrastruktur lebih kukuh untuk mengelak masalah berulang yang muncul semasa pandemik COVID’, Alfiansyah Max Bannatyne Clark menjelaskan adapun perkara yang dibincangkan itu lebih merungkai mengenai langkah-langkah terbaik untuk menangani masalah-masalah yang dihadapi oleh pihak kerajaan dan swasta serta masyarakat amnya di dunia ketika berdepan ancaman COVID selama ini. Antara isu yang diketengahkan ialah daripada segi keperluan dan bebanan sistem kesihatan, masalah gangguan mental yang semakin meningkat, dan sektor-sektor perkhidmatan penghantaran barangan mengalami kemerosotan.

    Alfiansyah Max Bannatyne Clark semasa ditemui Media Permata baru-baru ini.
    Lim Bei En berkongsi isu kesedaran mengenai kekurangan sumber perubatan seperti peralatan perlindungan diri (PPE) dan mesin ventilator ini perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa.
    Pengiran Seti Amanina Wafiqah mengungkapkan kesyukuran berpeluang menanai amanah sebagai seorang pengerusi forum semasa persidangan berkenaan.

    ATAS & BAWAH: Para pengerusi dan delegasi ketika membuat perbincangan mengenai salah satu topik semasa perhimpunan agung ISB BGIC kali ke-18 berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

    “Memandangkan kita kini terpaksa hidup bersama COVID, maka begitu mustahak kita sebagai masyarakat secara keseluruhannya mencari jalan penyelesaian untuk terhadap kesukaran yang dihadapi selama ini untuk sama-sama meningkatkan kehidupan sehari-hari sebaik mungkin,” tegasnya.

    Sementara itu, Lim Bei En juga salah seorang pengerusi forum yang membincangkan mengenai ‘Isu-isu pengimplementasian langkah-langkah peruntukan bekalan perubatan yang mencukupi sewaktu krisis’ berkongsi bahawa isu kesedaran mengenai kekurangan sumber perubatan seperti peralatan perlindungan diri (PPE) dan mesin ventilator ini perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa di mana-mana ketika masyarakat dunia masih berdepan dengan krisis kesihatan pada masa ini.

    “Pastinya kita tidak mahu krisis seperti COVID ini kembali mengancam kehidupan masyarakat dunia amnya atau apa-apa sahaja penularan penyakit-penyakit lain, namun langkah persediaan awal menangani kekurangan sumber perubatan ini perlu dititikberatkan dalam setiap negara di dunia ini.

    “Kita tidak mahu terjadinya kembali isu kehabisan keperluan perubatan demi sama-sama melindungi antara satu sama lain. Dalam hal ini setiap negara mestilah memainkan peranan masing-masing untuk membantu negara-negara yang memerlukan sebagai salah satu strategi utama menangani masalah kesihatan global,” ujarnya lanjut.

    Dalam pada itu, salah seorang pengerusi forum dalam bidang sosioekonomi bertajuk ‘Keperluan negara untuk menjamin akses rakyat mereka kepada penjagaan kesihatan’ dan ‘Keperluan untuk menambah baik sistem penjagaan kesihatan dalam kefungsian dan keberkesanan serta mendidik rakyat tentang langkah individu untuk membolehkan penambahbaikan’, Pengiran Seti Amanina Wafiqah binti Pengiran Anak Haji Abdul Wadood Bolkiah mengungkapkan kesyukuran di atas peluang menanai amanah sebagai jawatan yang dipikulnya semasa persidangan berkenaan kerana ia secara tidak langsung meningkatkan keyakinan dirinya memimpin forum di samping menerokai pengalaman dan kemahiran yang begitu berharga di luar dari proses pembelajaran semasa di dalam kelas.

    Adapun ISB BGIC merupakan persidangan model tahunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dipimpin oleh pelajar di mana para peserta mewakili pelbagai negara, berkongsi pandangan mereka mengenai isu dunia sebenar yang dihadapi pada masa ini.

    Di samping berperanan untuk menambah kefahaman para pelajar mengenai isu-isu global, persidangan itu juga bertujuan meningkatkan kemahiran di kalangan pelajar terhadap pemikiran kritis dalam penyelidikan dan mempertingkat kemahiran bercakap di khalayak umum serta kemahiran mengendalikan perundingan mereka.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda