Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jan – Seramai 38 perenang Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) kini sedang giat berlatih sebelum menyertai 350 perenang yang lain dari rantau Persekutuan Sekolah-sekolah Antarabangsa British Asia (FOBISIA) di dalam Kejohanan Renang Jemputan ke-3 yang akan dihoskan oleh ISB di Kompleks Renang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah bermula 20 hingga 22 Januari ini nanti.
Kejohanan tersebut akan menyaksikan perenang dari 13 buah sekolah dari enam buah negara berentap di dalam peringkat usia masing-masing bagi meraih kejayaan dalam acara berprestij itu.
Menurut Pengarah Sukan ISB, Mark Phipps, ISB sangat berbesar hati untuk menjadi tuan rumah kepada acara ini dan menegaskan akan melihat disiplin yang sangat mengagumkan di kalangan peserta yang bakal bersaing nanti.
Sementara ini Guru Besar Eksekutif ISB, Steven Geranghty pula menambah bahawa kejohanan tersebut bukan sahaja akan menampilkan semangat juang tinggi daripada peserta, malah ia akan menjadi sebagai promosi gaya hidup sihat yang sangat menggalakkan.
Beliau sangat berbesar hati dengan respons positif Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof yang bersetuju untuk tampil selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan acara itu nanti.

Dalam kenyataannya, beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Brunei Press, Progresif Cellular, Rainfresh Water, Canon, Origami Designs, D’Sunlit, dan Daikyo Recycling atas sokongan padu kepada acara itu nanti.
“ISB akan cuba menghoskan acara ini sebaik mungkin namun semua ini adalah hasil kerjasama semua rakan serta sokongan padu semua pihak yang terlibat dan saya berharap semua akan berjalan lancar nanti,” ujarnya lagi.
































