ISB lantik ketua jurulatih baharu Kelab Renang Hammerheads

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JAN – Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) baru-baru ini telah mengumumkan pelantikan Clement Leong sebagai ketua jurulatih baharu bagi Kelab Renang Hammerheads.

Berikutan pelantikannya itu, Clement menyatakan bahawa beliau berharap dapat membentuk dan mengembangkan program kelab berkenaan tahun ini dan seterusnya, dengan penekanan kepada pengembangan kemahiran dan pembelajaran yang menyeronokkan.

Clement mula melibatkan diri dalam kejurulatihan pada tahun 2012 iaitu sebagai jurulatih universiti di Pulau Pinang, Malaysia, sebelum mengambil alih menjadi jurulatih di Perak selama 3 tahun, menghasilkan beberapa perenang terkemuka.

Pada 2016 beliau berpindah ke Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS) dilantik sebagai ketua renang LIS.

Pada bulan September 2019, beliau menjadi jurulatih di Glenmark Aquatic Foundation di India selama 6 bulan.

Clement telah mengembangkan banyak perenang berbakat yang telah mencapai kejayaan di luar dan dalam negara. Beliau seorang jurulatih yang memiliki banyak pengetahuan dan pengalaman.

“Brunei berpotensi untuk berkembang dalam sukan renang dan saya mempunyai cita-cita untuk mengajar perenang untuk mencintai sukan ini dan pada masa yang sama mengembangkan mereka untuk mencapai potensi penuh serta boleh mewakili negara mereka pada masa akan datang,” tekannya.

ISB menyediakan pelbagai kemudahan yang ditawarkan untuk mengembangkan sukan renang dan usaha meningkatkan profil sukan itu. Clement juga teruja dengan visi dan cita-cita sekolah dan mempunyai banyak idea untuk memajukan kelab berkenaan.

Pengetua Eksekutif ISB dan Presiden Kelab Renang Hammerheads, Laura Thomas menyatakan, “Saya ingin mengucapkan selamat datang kepada Clement Leong sebagai ketua jurulatih kelab. Clement berpengalaman dalam melatih dan membimbing perenang di peringkat negara dan antarabangsa. Jawatankuasa, para perenang dan keluarga mereka teruja melihat per-kembangan yang akan dibawa oleh Clement kepada kelab kami yang sudah lama berdiri.”

Clement Leong dilantik sebagai ketua jurulatih baharu Kelab Renang Hammerheads. – Gambar serahan ISB