ISB mula sesi akademik baharu

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) telah memulakan sesi akademik baharu bagi tahun 2021/2022 secara maya ketika negara masih dibelenggu penularan wabak COVID-19.

Menurut kenyataan ISB, sejak 23 Ogos lalu, sistem pengajaran dan pembelajaran beralih ke dalam talian demi meneruskan kelangsungan sepanjang penggal pertamanya. Meskipun pendidikan dalam talian tidak dapat menggantikan sepenuhnya pendidikan bersemuka, ISB masih dapat menyampaikan pendidikan berkesan yang membolehkan para pelajar mengakses kurikulum mereka dalam persekitaran dalam talian.

Satu kelebihan pada tahun 2021 ialah ISB telah dapat memanfaatkan pengalaman sekolah maya untuk memastikan pembelajaran menjadi lebih baik kali ini. Pembelajaran lebih menarik dan berkesan untuk semua pelajar, dan melalui usaha guru dan latihan baharu, ISB lebih yakin berbanding sebelum ini tentang peruntukan berkualiti yang diterima semua pelajar.

Pengerusi Lembaga Pengarah, ISB, Awang Ahmad bin Isa menyatakan pengalaman pendidikan maya ISB adalah sejajar dengan misi mereka iaitu Everyone Excels di mana para pelajar menjalankan pembelajaran mereka dalam talian dan juga luar talian untuk meneruskan perjalanan pembelajaran mereka.

“Pelajar juga mempunyai tugas praktikal untuk membolehkan mereka menjangkau pemikiran lebih luas, menyelesaikan masalah, berfikir secara kritis dan bekerjasama dengan orang lain untuk mengembangkan pengalaman mereka,” tambahnya.

Pada penggal ini, ISB juga mengalu-alukan pengetua eksekutif baharu, Tony Macfadyen, yang sebelum ini merupakan Ketua Sekolah di St Constantine International School (SCIS) di Tanzania di mana beliau turut menyatakan perasaan gembira berada di Brunei dan menyaksikan pengajaran dan pembelajaran dalam talian yang berkualiti tinggi.

“Pengajaran inovatif dan imaginatif daripada semua peringkat kakitangan sekolah sungguh bermakna di mana para pelajar pastinya memperoleh pendidikan yang cemerlang walaupun tidak dapat masuk ke sekolah secara fizikal,” jelasnya lagi.

Ketua Sekolah Rendah ISB, Mike Everett menjelaskan bahawa Seesaw sangat membantu pada peringkat rendah kerana ia membolehkan pelajar sekolah yang lebih muda, dan ibu bapa mereka, menggunakan pendekatan pembelajaran yang amat fleksibel.

Antara pelajar ISB yang mengadakan pembelajaran secara dalam talian. – Gambar serahan ISB