Monday, January 20, 2025
27.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    ISB pupuk kesedaran alam sekitar

    Oleh Syahmi Hasaan 
    Gambar serahan ISB

    Pasukan Eko di Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) memulakan penggal baharu dengan Pokok Ikrar Eko (Eco Pledge Tree) bagi menggalakkan pelajar, kakitangan dan komuniti melakukan ikrar untuk membuat perubahan bagi alam sekitar.

    Pokok ikrar tersebut adalah simbolik untuk menunjukkan hasrat dan sokongan sekolah itu terhadap kesejahteraan alam sekitar masyarakat. Para pelajar dan kakitangan ISB telah menulis ikrar alam sekitar mereka sejak permulaan penggal.

    Ikrar yang dibuat secara proaktif oleh pelajar dan kakitangan berkenaan dipamerkan di sekeliling pokok ikrar tersebut, termasuk komitmen untuk mengitar semula, mematikan lampu, mempelajari lebih lanjut tentang isu alam sekitar dan mengurangkan penggunaan plastik sekali pakai. Komuniti ISB digalakkan untuk memikirkan bagaimana ia memberi kesan kepada alam sekitar dan bagaimana mereka boleh membuat perubahan yang positif.

    Pasukan Eko ISB, yang terdiri daripada pelajar-pelajar peringkat rendah dan menengah, tenaga pengajar dan bantuan, berharap pokok ikrar itu akan berfungsi sebagai peringatan visual tentang matlamat kolektif komuniti, dan bagi memberi inspirasi kepada mereka untuk mengamalkan amalan mampan yang boleh membuat perubahan.

    Inisiatif eko dalam ISB diketuai oleh Eco Warriors di peringkat rendah dan Jawatankuasa Eko di peringkat menengahnya. Pasukan Eko keseluruhan terlibat dalam projek yang sedang dijalankan untuk mengetengahkan dan meningkatkan kesedaran tentang isu alam sekitar tempatan dan global.

    Pokok Ikrar itu ialah satu inisiatif untuk menggalakkan komitmen terhadap kempen ‘Make A Difference’ oleh pasukan eko berkenaan. Selain itu, pasukan itu juga meningkatkan status ISB sebagai kampus hijau, dengan menggalakkan pelajaran luar dan mewujudkan kawasan sejahtera.

    Jawatankuasa Eko sekolah tersebut baru-baru ini telah menubuhkan Eco Wellness Garden, tempat istimewa di mana pelajar boleh mencari ketenangan dan tumpuan di tengah-tengah kesibukan hari persekolahan biasa di ISB.

    Bagi menyokong kesihatan mental dan kesejahteraan pelajar, taman tersebut adalah ruang yang selamat untuk pelajar merenung, berhubung semula dan meremajakan (rejuvenate) diri mereka.

    Pasukan Eko ISB terus memupuk kesedaran alam sekitar, mendidik dan memperkasakan rakan sebaya mereka untuk membuat keputusan positif dan menjadi pembuat perubahan untuk dunia yang mampan alam sekitar.

    Jawatankuasa Eko ISB telah menubuhkan Eco Wellness Garden.
    Para pelajar menyumbang untuk menulis ikrar untuk membuat perubahan untuk alam sekitar.
    Eco Wellness Garden tempat istimewa di mana pelajar boleh mencari ketenangan dan tumpuan di tengah-tengah kesibukan hari persekolahan.

    Pokok Ikrar Eko diwujudkan bagi menggalakkan pelajar, kakitangan dan komuniti mengambil ikrar untuk membuat perubahan untuk alam sekitar.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda