ISB sambut Aidilfitri

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Bagi memeriahkan lagi sambutan dan berkongsi kegembiraan Hari Raya Aidilfitri, Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) telah mengadakan persembahan nyanyian, tarian dan drama di Dewan Teater, hari ini.

Turut berkenan berangkat menyertai persembahan ialah cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raqeeqah Raayatul Bolqiah.

Pengetua Sekolah Rendah ISB, Darren Sibley dalam ucapannya pada majlis itu menekankan kepada para pelajar akan kepentingan Sambutan Hari Raya kepada umat Islam di seluruh dunia. Menurut beliau, selain berkongsi keceriaan, sambutan berkenaan juga melambangkan keterbukaan, toleransi dan penerimaan semua budaya terutama di Negara Brunei Darussalam.

“Terdapat kecantikan dan kekuatan dalam kepelbagaian dan sebagai sekolah antarabangsa, kita berusaha keras untuk meraikan budaya internasionalisme,” jelas beliau. Selain persembahan yang menghiburkan daripada para pelajar, majlis juga diserikan dengan kehadiran guru-guru, ibu bapa serta penjaga pelajar yang hadir berbaju Melayu.

Anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah berkenan menyertai persembahan sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) di Dewan Teater, ISB, kelmarin.
YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah turut menyerikan persembahan sempena Sambutan Hari Raya ISB.
YAM Pengiran Anak Raqeeqah Raayatul Bolqiah ketika menyertai persembahan, kelmarin.