ISC dapat penaja baharu

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 SEPT – Air minum Purion telah menjadi minuman rasmi untuk Kelab Sukan Indera (ISC) setelah Syarikat Leesin Sdn Bhd, selaku pengeluar air minuman berkhasiat, bersetuju untuk menjadi penaja bagi ISC.

Sehubungan dengan itu, majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Syarikat Leesin Sdn Bhd dan ISC telah dilangsungkan di Restoran Millennium, Beribi di sini.

Hadir bagi menandatangani MoU mewakili Syarikat Leesin ialah Pengarah Urusannya, Ting Kah Ong berserta pengurus syarikat berkenaan, Isaac Yang. Manakala bagi pihak ISC telah ditandatangani oleh Presiden ISC, Pengiran Anak Haji Mohd Yassin bin Pengiran Anak Safiuddin dan Pengurus Besar ISC, Awang Rosdin bin Haji Abdul Aziz.

Turut hadir selaku tetamu kehormat majlis pada petang tadi ialah Presiden Persatuan Bolasepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD), Pengiran Haji Matusin bin Pengiran Haji Matasan.

Melalui MoU itu telah menyaksikan syarikat pengeluar air Purion di negara ini akan memberi tajaan selama setahun bagi kegunaan pemain-pemain ISC semasa menjalani latihan dan dalam penyertaannya pada perlawanan-perlawanan sama ada di dalam dan di luar negara.

Tajaan berkenaan merupakan satu sumbangan yang bermanfaat daripada syarikat itu sekali gus sebagai tanda sokongan dan kerjasama yang padu kepada masyarakat dan pertubuhan sukan di negara ini.

Awang Rosdin menyatakan sumbangan tajaan berkenaan akan membantu kelab terutama dalam penyediaan air minuman berkhasiat kepada pemain-pemain.

Sementara itu, Ting Kah Ong pula menjelaskan tajaan berkenaan merupakan sokongan dan kerjasama syarikat kepada masyarakat di negara ini.

Wakil Syarikat Leesin Sdn Bhd dan ISC semasa menghadiri majlis penandatanganan MoU tajaan air minuman. – Gambar oleh Muiz Matdani