ISC komited jalani latihan demi kecergasan pemain

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Kelab Sukan Indera (ISC) rancak membuat persiapan awal menjelang perlawanan akan datang termasuk perlawanan musim Liga Super Brunei yang akan disahkan nanti melalui sesi latihan secara berterusan, menurut kelab itu baru-baru ini.

Sementara menantikan permulaan perlawanan utama di negara ini, kelab tersebut menegaskan bahawa aspek latihan dan kecergasan adalah sangat penting demi menyuntik semangat para pemain sebagai persiapan menghadapi perlawanan.

Menurut Pengurus Pasukan ISC, Pengiran Abdul Azim bin Pengiran Haji Othman semasa sesi latihan di Padang Persatuan Bolasepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD), kelab tersebut ingin menyaksikan para pemainnya dapat meningkatkan kemampuan mereka terutama sekali dari segi teknikal perlawanan.

“Selain terus menerapkan langkah-langkah SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa, para pemain kini giat melakukan latihan dalam persiapan mereka menempuh perlawanan domestik nanti,” tambahnya.

Pengiran Abdul Azim juga berkata pasukannya kini dilihat mempamerkan perkembangan positif dari segi peningkatan dalam kecergasan mereka dan akan terus melakukan latihan untuk meningkatkan kekuatan pasukan.

Tahun lepas, Liga Super Brunei telah dibatalkan berikutan dengan langkah-langkah sekatan COVID-19 yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa untuk mengekang penularan virus.

Pemain ISC ketika melakukan sesi latihan, baru-baru ini. – Gambar serahan ISC