ISC yakin mampu hasil bakat bola sepak tempatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Indera Sports Club (ISC) telah meletakkan keyakinan mereka dalam menghasilkan pemain berbakat dengan potensi besar dalam usaha mereka untuk meningkatkan kualiti bola sepak tempatan.

Ketua Pembangunan Belia, Roney bin Morni berkongsi kemajuan yang dicapai melalui Program Pembangunan Belia yang melibatkan pemain dari peringkat akar umbi untuk diperhalusi sebagai pemain bola sepak yang mengikuti latihan sistematik.

“Melalui program ini, kelab merasa yakin akan melahirkan pemain berbakat dengan potensi besar untuk menghadapi cabaran masa depan dengan yakin,” kata Roney semasa wawancara bersama Rampai Pagi sempena 50 tahun penubuhan kelab tersebut.

Program Pembangunan Belia yang dilaksanakan oleh ISC dilihat sebagai langkah positif untuk meningkatkan standard dan kualiti bola sepak tempatan dan mengasah pemain remaja sebagai pengganti pemain senior.

Pada masa ini, kejayaan ISC kelihatan jelas dengan pencapaian yang cukup memberangsangkan setelah memenangi banyak kategori dalam pertandingan seperti 4×4 Grassroots NFABD serta PPSB dan kejohanan McDonald’s.

ISC yakin mampu menghasilkan pemain berbakat dengan potensi besar untuk meningkatkan kualiti bola sepak tempatan.

Sementara itu, Pengurus Besar ISC, Rosdin bin Haji Abdul Aziz mengongsikan perjalanan kelab untuk penampilan bola sepak kompetitif di peringkat benua yang dipersetujui oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Sebagai sebuah kelab yang bercita-cita untuk masa depan, ISC telah mengikuti pelaksanaan Sistem Perlesenan Kelab yang dikeluarkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia dan Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) kepada kelab-kelab bola sepak yang menyertai dalam Liga Super Brunei,” katanya.

Hasilnya, kelab ini melakar sejarah pada September 2019 setelah menjadi satu-satunya kelab di negara ini yang memperoleh lesen AFC.

Pada Januari 2020, kelab itu mewakili Negara Brunei Darussalam untuk bertanding dalam pusingan kelayakan Piala AFC 2020 menentang Yangon United dari Myanmar.

Pencapaian terbaik ISC memenangi Liga Super Brunei 2013 dan berjaya mengekalkan gelaran mereka setahun kemudian. Kelab ini juga memenangi Piala FA pada tahun 2018.

Ditanya mengenai bagaimana kelab menghadapi cabaran COVID-19, Rosdin mengatakan, “NFABD telah menasihati dan mengesyorkan kelab-kelab Liga Super Brunei untuk menjaga kecergasan.

“Alhamdulillah, kelab-kelab di Liga Super Brunei telah kembali menjalani latihan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).”

Di bawah sukan berpasukan, kelab bola sepak boleh mengambil bahagian dalam latihan tetapi perlawanan masih tidak dibenarkan.