Monday, December 30, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ishiba dilantik Perdana Menteri Jepun

    TOKYO, 1 OKT – Shigeru Ishiba, ketua parti pemerintah Jepun dilantik sebagai Perdana Menteri di Dewan Perwakilan hari ini, menggantikan Fumio Kishida.

    Pelantikan Ishiba, 67, berlaku di tengah-tengah keyakinan masyarakat awam yang semakin goyah terhadap politik dan ekonomi, manakala ancaman keselamatan yang semakin meningkat, lapor agensi berita Kyodo.

    Beliau dijangka membubarkan Dewan Perwakilan tidak lama lagi untuk pilihan raya awal yang dijadual pada 27 Oktober.

    Ishiba, bekas ketua pertahanan menang tipis dalam pemilihan presiden LDP dalam pusingan kedua pada Jumaat, berikrar untuk merombak parti yang terjejas oleh skandal dana politik.

    Sebelum Ishiba dipilih sebagai perdana menteri dalam sesi luar biasa Diet, anggota Kabinet Kishida akan meletak jawatan secara keseluruhan.

    Selepas disahkan, Ishiba akan membentuk Kabinet hari ini, memberikan jawatan utama menteri luar dan menteri pertahanan kepada dua penyokongnya yang berkongsi pandangan yang sama mengenai peranan dan tanggungjawab global Jepun.

    Beberapa individu yang bertanding menentang Ishiba dalam pemilihan LDP juga dijangka menerima jawatan Kabinet.

    Mengambil alih pucuk pimpinan LDP dalam percubaan kelimanya, Ishiba berdepan cabaran untuk membentuk kerajaan yang stabil dan mengurangkan pergeseran dalaman parti.

    Ishiba memberikan dua bekas perdana menteri, Taro Aso dan Yoshihide Suga yang masih berpengaruh ke atas anggota LDP, masing-masing jawatan simbolik sebagai penasihat tertinggi dan naib presiden. – Bernama

    Ishiba (depan kanan) menerima sijil daripada Maharaja Naruhito (kiri) sambil disaksikan oleh Kishida (tengah) semasa upacara pengesahan jawatan perdana menteri di Istana Imperial di Tokyo pada 1 Oktober – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda