TOKYO, 30 SEPT – Bakal Perdana Menteri Jepun yang baharu, Shigeru Ishiba hari ini berkata bahawa beliau merancang untuk mengadakan pilihan raya umum pada 27 Oktober ketika beliau bersiap sedia mengambil alih jawatan, lapor Xinhua.
Dewan Rendah Parlimen akan dibubarkan pada 9 Oktober, kata Ishiba kepada pemberita, menekankan kepentingan mendapatkan mandat orang ramai secepat mungkin.
Bekas Menteri Pertahanan berusia 67 tahun itu menewaskan Menteri Keselamatan Ekonomi, Sanae Takaichi dalam pilihan raya pada Jumaat untuk mengetuai Parti Demokratik Liberal (LDP) yang memerintah negara itu.
Memandangkan gabungan pimpinan LDP membentuk majoriti di kedua-dua dewan parlimen di Jepun, Ishiba, sebagai ketua parti baharu, akan dipilih sebagai perdana menteri dalam sesi parlimen luar biasa esok untuk menggantikan Fumio Kishida.
Di Jepun, perdana menteri baharu sering mengadakan pilihan raya mengejut untuk membubarkan Dewan Rendah pada tarikh awal bagi memanfaatkan penarafan kelulusan yang tinggi untuk mendapatkan mandat awam dan meneruskan agenda politiknya.
Pada sidang akhbar berikutan kemenangannya pada Jumaat, Ishiba berikrar memberikan ‘usaha penuh’ untuk membina semula kepercayaan dan perpaduan dalam LDP, menyeru sebuah parti yang merendah diri, adil dan telus, iaitu peraturan dipatuhi dan pemimpin boleh dipertanggungjawabkan oleh rakyat. – Bernama