Isi percutian dengan aktiviti bermanfaat

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Dis – Program Tanmiatul Aqli yang dianjurkan oleh Majlis Perundingan Kampung Rancangan Perumahan Negara (RPN) Panchor Mengkubau dengan kerjasama ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Hassanal Bolkiah Kampung Mentiri mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan seramai 60 kanak-kanak yang berumur 7 hingga 11 tahun.

Program tersebut yang bermula hari ini diisikan dengan beberapa aktiviti menarik yang telah disusun untuk para peserta termasuk sesi interaktif, ceramah serta lawatan ke tempat menarik di negara ini.

Selain dapat mengisikan masa lapang para peserta sempena cuti persekolahan ini, ia juga diadakan bertujuan bagi membantu menyuntik pembangunan minda para peserta dalam mendidik dan menyemai golongan kanak-kanak dengan nilai-nilai murni bagi membentuk akhlak yang baik.

Program yang diadakan selama dua hari di Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri itu akan berakhir dengan majlis penutup esok.

Antara kanak-kanak berumur 7 hingga 11 tahun yang menyertai program tersebut.