Friday, October 11, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Iskandar M’sia mampu jadi hab penerbangan serantau

    JOHOR BAHRU, 29 Ogos – Iskandar Malaysia dilihat berpotensi dibangunkan menjadi sebuah hab penerbangan serantau berdasarkan kadar pertumbuhan ekonomi dan pembangunan infrastruktur yang sedang meningkat ketika ini.

    Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Datuk Ismail Ibrahim berkata faktor utama yang perlu diberikan tumpuan ialah kebolehcapaian dari segi logistik dan infrastruktur yang perlu dibina dan dipertingkatkan.

    “Apabila kita bercakap mengenai Iskandar Malaysia sebagai hab penerbangan di rantau ini, ia adalah satu perkara yang logik, kerana ia menyumbang secara lansung terhadap pertumbuhan ekonomi di sini. Ia juga dapat menampung peningkatan aliran keluar masuk kargo dan penumpang.

    “Selain infrastruktur, penyedia perkhidmatan juga memainkan peranan penting dalam memastikan kebolehcapaian terus meningkat. Kita tentunya mahu melihat Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) dimajukan lagi, namun keputusan tersebut hanya boleh ditentukan oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis PraPerasmian Simposium Pelaburan Iskandar Malaysia 2017 (Invest IM) di sini hari ini.

    Menurut Ismail perancangan untuk membina sebuah lapangan terbang berhampiran atau memperluaskan kawasan LTAS sedia ada, memerlukan perbelanjaan yang besar tanpa mengira sama ada ia dilaksanakan oleh badan kerajaan mahu pun swasta.

    “Berdasarkan jangkaan pertumbuhan, kita melihat LTAS perlu dibangunkan lagi. Sekiranya ada keputusan untuk membangunkan sebuah lapangan terbang di kawasan berhampiran LTAS, ia tentunya boleh menjadi pelengkap terhadap perkhidmatan sedia ada,” katanya. Sementara itu, Ismail berkata Invest IM yang akan berlangsung pada 3 dan 4 Okto ini di Hotel Phoenix, Gelang Patah, bakal menghimpunkan pemimpin syarikat korporat, pengkaji dasar, pelabur dan ahli profesional dari kerajaan dan swasta yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar  Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

    “Ini merupakan program yang kita anjurkan setiap dua tahun sekali dan tema tahun ini ialah ‘Membentuk Masa Depan Ekonomi di Iskandar Malaysia’. Kita akan berkongsi dasar-dasar kerajaan yang baharu selain strategi yang boleh membuka lebih banyak ruang pelaburan kepada pelabur sedi ada atau pelabur baharu,” kata Ismail.   – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda