Islam pemacu kejayaan Wawasan Negara 2035

Oleh Ak Zaki Kasharan

Dalam usaha menjayakan Wawasan Brunei 2035, agama Islam seharusnya tidak diketepikan dalam setiap apa yang dilakukan kerana sudah semestinya ia berlandaskan ajaran Agama Islam yang merupakan agama rasmi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara Brunei Darussalam berlandaskan kepada mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Sejak berabad-abad yang lalu, pelbagai usaha telah dilakukan terutamanya di bawah pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi menegakkan syiar agama Islam supaya sentiasa berkembang luas dan lebih kukuh.

Selaku raja yang memerintah negara, ajaran Islam sentiasa dititikberatkan dalam apa jua hal sekalipun dalam pentadbiran kerajaan mahupun kehidupan rakyat jelata di negara ini.

Banyak kemajuan dari pelbagai aspek agama di negara ini telah dicapai di bawah pemerintahan Baginda Sultan, sama ada dalam infrastruktur dan bangunan, pendidikan agama Islam, dan penyebaran dakwah di negara ini.

Pembinaan Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah

Memang tidak dapat dinafikan bahawa pelbagai kemajuan dan perkembangan di negara ini khususnya dalam pembinaan infrastruktur dan bangunan di Negara Brunei Darussalam yang dikecapi pada masa ini termasuklah bertambahnya bilangan masjid, surau mahupun balai-balai ibadat di keempat-empat daerah bagi menampung tempat ibadat selain bagi memudahkan lagi rakyat dan penduduk yang beragama Islam untuk mengerjakan ibadah dengan lebih tenang, dan selesa.

Ajaran Islam sentiasa dititikberatkan dalam apa jua hal sekalipun dalam pentadbiran kerajaan mahupun kehidupan rakyat jelata. – Gambar fail oleh Muiz Matdani
Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah merupakan satu mercu tanda di negara ini sebagai gedung khazanah warisan ilmu. – Gambar fail oleh Bahyiah Bakir
Dalam pembinaan Jambatan Temburong arca bulan sabit dan bintang serta kalimah Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu Akbar menghiasi setiap menara jambatan tersebut. – Gambar fail oleh Muiz Matdani

Antara pembinaan bangunan berkonsepkan Islam yang megah didirikan dan dirasmikan pada akhir tahun lalu ialah Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah di mana ia telah sempurna dirasmikan oleh Baginda Sultan, sendiri bersempena dengan Majlis Ilmu pada tahun lalu.

Dengan terbinanya balai tersebut ia menjadi salah satu lagi mercu tanda bagi Negara Brunei Darussalam, di sam-ping menjadi gedung khazanah warisan ilmu.

Balai berkenaan bukan hanya sekadar berfungsi untuk pameran semata-mata, bahkan juga mendukung konsep ketamadunan yang lebih menyeluruh dan diharap akan menjadi pusat warisan ilmu Islam, yang mampu untuk menghidupkan budaya ilmu melalui aktiviti-aktiviti keilmuan.

Dalam titah Baginda Sultan semasa Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2019 yang lalu antara lain menekankan bahawa balai tersebut juga berpotensi untuk menjadi pusat sehenti destinasi pelancongan Islam.

Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah tersebut mempunyai sembilan buah galeri termasuk Galeri Kebestarian Raja Mukmin, Galeri Al-Quran Al-Karim, Galeri Al-Anbiya, Galeri Sahabat Rasulullah SAW, Galeri Warisan Ilmu, Galeri Al-Aqsa dan Al-Haramain, Galeri Penciptaan Manusia dan Alam Semesta dari Perspektif Islam dan Sains, Galeri Merungkai Misteri Alam Semesta dan Galeri Kesenian Islam.

Selain pembinaan bangunan dan masjid, konsep keIslaman itu jelas terpancar dalam pembinaan mega Jambatan Temburong yang menghubungkan kemudahan jalan raya antara penduduk di Daerah Temburong dan Brunei dan Muara.

Jambatan tersebut turut mempamerkan ciri-ciri sebuah negara Islam yang mana pada menara jambatan itu telah dihiasi dengan arca bulan sabit dan bintang serta kalimah Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu Akbar. Pemasangan kalimah-kalimah itu juga menunjukkan usaha yang dilakukan untuk meningatkan pemandu-pemandu supaya berhati-hati dan sentiasa mengingati Allah dan memohon perlindungan ketika memandu.

Memperkasa gaya hidup asnaf zakat

Sementara itu, dalam membantu meringankan beban serta meningkatkan gaya hidup masyarakat Islam yang memerlukan dan kurang bernasib baik di negara ini seperti para penerima asnaf zakat turut tidak diketepikan selaras dengan matlamat Wawasan Brunei 2035 untuk melihat kehidupan rakyat yang berkualiti setara dengan 10 negara teratas di dunia serta memiliki ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan dengan pendapatan per kapita yang tinggi setara dengan 10 negara teratas di seluruh dunia.

Sebagai salah satu contoh usaha yang dilakukan ialah seperti mengadakan acara Tamu Usahawan Asnaf Zakat yang dikendalikan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Pusat Dakwah Islamiah dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Brunei, KHEU dan disokong oleh Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).

Ia diadakan demi untuk memberikan keyakinan kepada golongan asnaf penerima zakat untuk terus memacu perubahan dan menjadi usahawan mandiri yang berjaya yang mana ia merupakan sebagai satu sumbangan besar dalam membangun masyarakat yang harmonis dan berjaya di negara ini.