Oleh Dr. Muhammad Hadi Muhammad Melayong
Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja
“Pada 22hb Oktober, 2013 yang lalu, Beta telah mengumumkan pewartaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah, 2013. Maka pada hari ini, setelah berlangsung enam bulan, Beta dengan bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata’ala serta bersyukur, mengisytiharkan bahawa esok, hari Khamis 1hb Rejab, 1435 Hijrah bersamaan 1hb Mei, 2014 Masihi adalah tarikh, mulanya berkuatkuasa Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah, 2013, fasa pertama, yang kemudian akan diikuti pula dengan fasa selanjutnya.”
(Petikan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Bersempena Majlis Pengisytiharan Penguatkuasaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar’iah, 2013 pada Rabu 30 Jamadilakhir, 1435 / 30 April 2014, bertempat Di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas.)
AGAMA Islam telah dianuti dan ajarannya dihayati di Negara Brunei Darussalam sejak kedatangan Islam ke Brunei kira-kira enam kurun yang lalu sehinggalah sekarang, status quo agama ini tidak berubah-ubah.
Perlembagaan Negeri Brunei 1959 yang dipinda pada tahun 2004 dan 2008 menjadi asas kepada perkembangan perundangan di negara ini dan telah mencatatkan agama Islam bukan sahaja menjadi agama rasmi, malah juga memberi ruang kepada perkembangan syiarnya yang terus menyerlah. Setiap masa kita menerima kemasukan orang-orang bukan Islam kepada agama Allah Subhanahu wa Ta’ala ini.
Pelaksanaan perundangan Islam dari sehari ke sehari semakin bertambah kukuh, khususnya setelah Negara Brunei Darussalam mencapai kemerdekaan pada tahun 1984.


Dasar dan polisi kerajaan Baginda adalah menuju ke jalan yang diredai oleh Allah Subnahanahu wa Ta‘ala iaitu negara yang baik yang disebut dalam Al-Quran sebagai Negara Baldatun Tayyibatun Warrabun Ghafur’.
Undang-undang Islam menjadi dasar perundangan negara, dan Al-Qur’an sentiasa dibaca dan menjadi pedoman kepada orang-orang Islam Brunei.
Sebagai rakyat negara ini, kita amat bertuah dan sangat beruntung kerana memiliki sebuah negara yang telah diberi petunjuk dan ditakdirkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala menjadi negara yang mengamalkan ajaran Islam.
Agama Islam telah dijadikan sebagai agama dan pegangan rasmi negara ini menurut akidah Ahli Sunnah Waljama’ah dengan menghayati Mazhab Syafie sebagai cara hidup sepanjang hayat.
Di bawah kepimpinan Baginda Sultan syiar Islam terus kukuh dan berkembang di sebalik perubahan zaman yang semakin pantas. Kenyataannya pada dewasa ini Islam ialah pegangan dan cara hidup masyarakat Brunei yang lengkap lagi sempurna sebagaimana titah Baginda di Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan 1430H/2009M:
“Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala di atas limpah rahmat-Nya mengurniakan kita kemakmuran, keselamatan dan kesejahteraan. Nikmat ini kita capai adalah hasil dari usaha mematuhi segala ajaran agama Islam selaku cara hidup yang lengkap lagi sempurna.
Sebagai contoh, dalam kehidupan seharian kita menghayati dan melaksanakan kehidupan bersandarkan kepada cara hidup MIB yang meletakkan kedudukan Agama Islam di tempat yang paling tinggi lagi mulia dalam pentadbiran dan pengurusan negara.
Mana-mana perkara yang berunsur maksiat dan dosa atau menghalalkan mana-mana yang haram atau mengharamkan mana-mana yang halal adalah dilarang keras atau diharamkan.
Ini bermakna, tindakan mengharamkan arak, mengharamkan tempat-tempat pelacuran, mengharamkan tempat-tempat perjudian, mengharamkan kemasukan daging yang tidak halal atau diragui kehalalannya, dan seumpamanya dibuat bagi memenuhi tuntutan Islam sebagai agama rasmi negara, sekali gus tuntutan Al-Quran dan hadis.
Alhamdulillah, kejayaan kerajaan Brunei di bawah kepimpinan Baginda Sultan juga tercatat dalam sejarah dengan pengisytiharan perlaksanaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syari’ah sepenuhnya menurut kehendak Perlembagaan Negara Brunei Darussalam pada tahun 2014.
Negara Brunei Darussalam dan rakyatnya amat bersyukur kerana mempunyai seorang pemimpin yang begitu prihatin, bukan sahaja dalam soal-soal yang menyangkut hal ehwal kebajikan dan kesejahteraan rakyat malahan hingga ke soal-soal hukum-hakam yang membabitkan perkara sekecil-kecilnya, tetapi mempunyai impak yang besar kepada pegangan dan kehidupan beragama.
Semua ini adalah rahmat yang diterima berkat kepimpinan yang berpandukan kepada Al-Quran dan As Sunnah.
Realitinya, perpaduan yang sangat dituntut oleh Islam itu telah dapat dicapai oleh Negara Brunei Darussalam dengan caranya yang tersendiri.
‘Tali Allah’ telah dapat menyatukan umat Islam di negara ini dan menghindarkan daripada berlaku perpecahan yang boleh membawa huru-hara dalam masyarakat dan negara.
Oleh itu, sebagaimana titah Baginda bahawa Islam adalah cahaya, yang dengan jasanya jua, dunia jadi bersinar dan terkeluar daripada kegelapan jahiliah (titah di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 1432 Hijriah/2011 Masihi anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah) yang membawa kepada kemajuan, pembangunan dan kesejahteraan hidup rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.
Islam adalah pengukuh bagi kewujudan negara Kesultanan Melayu di Negara Brunei Darussalam. Agama Islam yang menjadi paksi bagi keutuhan kewujudan sebuah Negara Melayu Islam Beraja yang telah dideklarasikan oleh Baginda Sultan pada 28 Rabiul Awal 1404H/1 Januari 1984 yang menitahkan bahawa Negara Brunei Darussalam
“… adalah dengan izin serta limpah kurnia Allah Subhanahu wa Ta’ala, akan untuk selama-lamanya kekal menjadi sebuah Negara Melayu Islam Beraja yang merdeka, berdaulat dan demokratik bersendikan kepada ajaran-ajaran Ugama Islam menurut Ahlul Sunnatu wal-Jama’ah”.
Maka adalah menjadi kewajipan kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam untuk terus mengekalkan dan menghayati cara hidup yang bersandarkan kepada nilai-nilai Melayu Islam Beraja sebagai asas perpaduan dan penyatuan hidup bermasyarakat dan negara demi laila kemakmuran dan laila keamanan.