Islam tonggak utama tempuhi segala cabaran

Oleh AK Zaki Kasharan
Gambar oleh Muiz Matdani & Infofoto

Dalam usaha menjayakan Wawasan Brunei 2035, agama Islam terus menjadi sandaran utama dalam apa jua yang dilakukan selaras dengan apa yang termaktub dalam perlembagaan Negara Brunei Darussalam iaitu agama Islam sebagai agama rasmi negara dengan berlandaskan Mazhab ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Sehubungan itu, pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi menegakkan syiar agama Islam supaya sentiasa berkembang luas dan lebih kukuh.

Sejak berabad-abad yang lalu, bermula daripada Sultan Brunei pertama apabila Islam mulai datang di negara ini, pelbagai usaha untuk mengembang dan menegakkan syiar agama Islam telah dilakukan terutamanya di bawah pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Selaku raja yang memerintah negara, ajaran Islam sentiasa dititikberatkan dalam apa jua hal sekalipun dalam pentadbiran kerajaan mahupun kehidupan rakyat jelata di negara ini.

Begitu juga halnya dengan usaha dan kejayaan Negara Brunei Darussalam dalam mengawal dan membendung penularan COVID-19 yang telah mendapat pujian dan dijadikan contoh oleh kebanyakan negara, di mana Brunei telah berjaya menangani penularan pandemik tersebut, sekali gus menjadikan Brunei antara beberapa negara di dunia yang berjaya membendung jangkitan komuniti COVID-19.

Di masjid-masjid ibadah solat dilakukan mengikut cara yang ditetapkan dengan membentengi diri daripada wabak ini seperti menggunakan penutup mulut dan hidung dan pembersih tangan serta yakin akan pertolongan Allah SWT.
Penyerahan Buku Qunut Nazilah sebagai usaha kerohanian dalam membendung penularan wabak COVID-19.

Di samping usaha mencegah penularan COVID-19 melalui kaedah perubatan dan sebagainya, seluruh rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam turut diseru untuk memperbanyakkan berdoa dan memohon pertolongan daripada Allah SWT bagi dilindungi daripada ancaman COVID-19.

Baginda Sultan pada 22 Mac 2020 lalu berkenan mengurniakan titah perutusan khas berkenaan jangkitan wabak COVID-19 di Istana Nurul Iman yang antara lain menyeru rakyat dan penduduk di negara ini secara bersepadu membentengi diri daripada wabak ini dengan mengutamakan kebersihan, menggunakan penutup mulut dan hidung dan pembersih tangan serta komited dari segi psikologi iaitu bersabar dan bertenang serta yakin kepada pertolongan Allah SWT.

Sehubungan itu, Baginda menegaskan apa yang perlu ialah rawatan dan pencegahan melalui pelbagai cara seperti menghindari perkumpulan ramai, memakai penutup mulut dan hidung, menggunakan cecair pembasmi kuman, mengadakan sekatan keluar dan masuk apabila diperlukan dan memperbanyakkan doa.

Selaku bangsa yang berakidah di samping meneruskan usaha bersifat jasmani dan fizikal, kita juga dituntut untuk menggandakan usaha bersifat kerohanian, spiritual dengan memperbanyakkan doa dan zikir kepada Allah dan melakukan amar maa’ruf nahi mungkar, tegas Baginda.

“Di sinilah budaya kita berbeza, kita tahu wabak ini bukan wujud dengan sendirinya tapi datang daripada siapa yang bernama ‘Maha Pencipta’ dan tiada siapa di kalangan kita yang tahu mengapa ia didatangkan.

“Tetapi bercermin kepada peristiwa yang dirakam dalam Al-Quran, ia dapat difahami, setiap bala atau musibah atau wabak itu adalah satu peringatan atau hukuman atau intiqam daripada Allah. Cuma satu saja harapan yang tinggal iaitu kita sama-sama datang kepada Allah dengan merendah diri dan mengaku berdosa sambil memohonkan belas kasihanNya,” titah Baginda lagi.

Baginda turut menitipkan doa semoga Allah memelihara Negara Brunei Darussalam dan penduduknya daripada wabak yang dahsyat ini.

Dalam pada itu, Baginda turut menyarankan Kementerian Hal Ehwal Ugama untuk memandu dan membimbing rakyat untuk berdoa dan berzikir di samping menyediakan teks doa dan zikir untuk kemudahan.

“Utamakan yang mudah-mudah tetapi warid supaya senang bagi orang ramai melakukannya dan melalui usaha yang sangat berkebajikan ini, semoga Allah menerimanya,” titah Baginda.

Alhamdulillah dengan izin Allah SWT, Brunei Darussalam telah berjaya mencatatkan kes sifar jangkitan tempatan COVID-19 di negara ini dengan usaha-usaha yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan dan semua agensi kerajaan lainnya yang berganding bahu dengan agensi bukan kerajaan dan seluruh rakyat serta penduduk di negara ini bagi mengekang penularan COVID-19 negara sejak 7 Mei 2020.