Islam ubat mujarab

Oleh Dr. Asmady Idris,

Pensyarah Program Hubungan Antarabangsa, Universiti Malaysia Sabah

 

DENGAN keadaan rantau Eropah yang berkecamuk disebabkan oleh krisis ekonomi yang melanda dan ditambah lagi dengan isu pelarian, United Kingdom buat pertama kalinya telah memilih untuk berpisah daripada Kesatuan Eropah.

Berkesinambungan daripada ini juga, dalam usaha untuk memulihkan ekonomi rantau tersebut apabila dua buah negara ahlinya iaitu Sepanyol dan Greece berhadapan dengan krisis ekonomi yang tenat, model dan sektor ekonomi Islam iaitu industri makanan halal dan sistem kewangan Islam mula diberikan perhatian.

Kedua-dua sektor ekonomi Islam ini bukan sahaja mendapat tempat di Eropah, malah termasuk jugalah di rantau Asia dan lain-lain lagi.

Menurut Dr. Asmady Idris, pensyarah Program Hubungan Antarabangsa, Fakulti Kemanusiaan Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah, berlandaskan kepada perkembangan terbaru ini, negara-negara dan umat Islam perlulah bijak memanfaatkan peluang yang terhidang kini.

Kerapuhan sistem politik dan sosioekonomi Barat sudah jelas menyatakan ia bukanlah ubat mujarab terbaik untuk memulihkan kekuatan dunia Islam keseluruhannya.

Fenomena keganasan yang dilakukan oleh kelompok-kelompok tertentu bukanlah mewakili suara Islam sebenarnya.
Fenomena keganasan yang dilakukan oleh kelompok-kelompok tertentu bukanlah mewakili suara Islam sebenarnya.

Pada dasarnya, sungguhpun dunia Islam sudah kehilangan tonggak kekhalifahan sejak musnahnya Empayar Uthmaniyah tetapi sistem politik dan kekuasaan ataupun ‘suara’ Islam masih ada sebenarnya! Tambah beliau lagi, suara Islam masih masih wujud dalam sistem politik yang terpisah-pisah dan tidak bersatu.

Akan tetapi ‘suara Islam’ masa kini boleh dikelompokkan kepada tiga kekuatan terbesar iaitu ekonomi (merujuk kepada negara-negara pengeluar minyak di Timur Tengah), pengaruh politik global (Turki, Arab Saudi dan Iran kerana keupayaan mereka mempengaruhi struktur politik antarabangsa) dan pembela kemanusiaan sejagat (Turki, Indonesia dan Malaysia). Seandainya ketiga-ketiga elemen ini dapat disatukan, dunia Islam akan kembali semula cerah dan terbilang.

Bila ini akan berlaku? Ia memerlukan suatu pengorbanan yang besar.

Lipatan sejarah transisi pemerintahan umat Islam sememangnya memerlukan pengorbanan besar seperti pertikaian yang berlaku antara Sayidina Ali dan Muawiyah ibnu Suffian r.a. telah melahirkan kepimpinan Bani Umayyah yang kuat. Begitu juga peralihan dari Bani Umayyah kepada Bani Abbasiyah, Dinasti Mamluk kepada Uthmaniyah dan kini dari sistem pasca Uthmaniyah kepada sistem politik umat Islam yang baru sudah pasti menuntut pengorbanan yang besar.

Pengorbanan tersebut tidak akan menjadi sia-sia tetapi akan menjadikan dunia masa kini lebih bersifat adil, saksama dan tidak mempunyai unsur-unsur penindasan terhadap semua umat manusia, baik komuniti Islam ataupun bukan Islam bersesuaian dengan Firman Allah Subhanahu Wata’ala yang bermaksud, “Kami tidak mengutus engkau, Wahai Muhammad, melainkan sebagai rahmat bagi seluruh manusia.” (Surah al-Anbiya: 107).

Daripada konteks ayat Al-Quran di atas, dunia Barat sewajarnya tidak perlu gementar dengan kebangkitan semula umat Islam dalam pentas politik antarabangsa.

Misi Islam yang dibawa tidak lain tidak bukan hanyalah berfungsi sebagai ‘ubat mujarab’ yang paling berkesan bagi melestarikan ke-stabilan politik dunia dan memartabatkan kesejahteraan manusia sejagat.

Fenomena keganasan yang dilakukan oleh kelompok-kelompok tertentu bukanlah mewa-kili suara Islam sebenarnya.

Dunia Barat mempunyai dua pilihan untuk menghadapi kebangkitan umat Islam yang bakal berlaku iaitu sama ada secara offensive dengan menganggap dunia Islam sebagai ‘next enemy’ ataupun berdialog dan bergaul rapat dengan umat Islam bagi membentuk dunia yang lebih harmoni dan bebas daripada pertumpahan darah.