RIYADH, 13 Feb – “Islamophobia” di beberapa tempat di dunia ini meningkatkan lagi keganasan, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres berkata ketika lawatannya ke Arab Saudi, apabila sentimen antipenghijrah meningkat di beberapa negara.
Guterres membuat ulasan itu kepada para wartawan selepas mengadakan beberapa rundingan bersama pemimpin Arab Saudi, Raja Salman, Putera Mahkota dan Menteri Dalam Negeri, Mohammed bin Nayef dan Timbalan Putera Mahkota, Mohammed bin Salman.
“Salah satu perkara yang menyemarakkan keganasan adalah ungkapan di beberapa tempat di dunia akan perasaan Islamophobia dan dasar-dasar Islamophobia dan ucapan-ucapan kebencian terhadap Islam,” katanya dalam satu sidang media gabungan bersama Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir.
“Ini kadang-kadang akan menjadi sokongan terbaik buat kumpulan militan Daesh (IS) untuk melakukan propagandanya tersendiri,” kata Guterres.
Ahli-ahli politik anti-penghijrah termasuk Marine Le Pen dari Perancis telah melihat populariti mereka meningkat selepas satu kemasukan penghijrah ke Eropah, kebanyakannya orang-orang Islam yang melarikan diri dari kancah peperangan di Syria dan tempat-tempat lain.

Presiden AS Donald Trump mengeluarkan perintah pada lewat Januari bagi melarang kemasukan dari tujuh negara majoriti beragama Islam buat 90 hari.
Namun perintah itu berdepan beberapa rintangan dan pada Khamis lepas mahkamah rayuan membuat keputusan sebulat suara untuk mengekalkan sekatan terhadap perintah Trump itu.
Guterres berkata “kita tidak akan berjaya dalam memerangi keganasan di Syria jika satu penyelesaian politik inklusif tidak ditemui bagi penduduk Syria.”
Satu pusingan rundingan baru yang ditaja oleh PBB dijadualkan di Geneva pada 20 Februari ini.
Guterres tiba di Arab Saudi dari Turki dan kini di Dubai bagi Sidang Kerajaan Dunia ketika jelajah serantaunya. – NNN