Ismail Sabri sempurnakan prapelancaran keluarga Malaysia

KUALA LUMPUR, 8 OKT – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menyempurnakan prapelancaran Keluarga Malaysia yang memberi gambaran lebih jelas mengenai konsep yang diperkenalkannya sejak ucapan sulungnya sebagai perdana menteri 22 Ogos lepas.

Beliau mengakui kemungkinan ramai yang tertanya-tanya maksud sebenar idea Keluarga Malaysia dan mengapa ia menjadi ‘semangat’ yang mahu disemarakkan kerajaan hari ini.

Katanya jawapannya mudah, kerana sebuah institusi keluarga sentiasa berperanan memelihara agama, melindungi keselamatan, menjaga maruah dan memastikan nasib setiap ahli keluarga terbela.

“Dalam konteks negara, kita adalah Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama, bangsa, kaum dan usia. Meskipun berbeza kepercayaan, latar belakang dan budaya, kita meraikan ‘keterangkuman’ dalam perbezaan, menjunjung semangat Malaysia sebagai sebuah negara bangsa.

“Kemajmukan yang kita raikan inilah yang menjadi benih membugar dalam hati setiap rakyat Malaysia. Kelangsungan ini merupakan aset yang mesti terus dipertahankan. Justeru, nilai setiap Keluarga Malaysia merupakan komponen penting demi menentukan jatuh, bangun bumi bertuah ini,” katanya.

Sebuah keluarga menikmati pemandangan senja pada tinjauan fotoBernama semasa tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Tiga di Bukit Gombak. Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memperkenalkan slogan Keluarga Malaysia sebaik sahaja beliau dilantik dan slogan itu haruslah dipupuk bermula dari penjawat awam yang merupakan tulang belakang negara. – Bernama

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena majlis berkenaan di sini, hari ini yang turut disiarkan secara langsung melalui saluran TV1 RTM. Ismail Sabri berkata konsep dan pendekatan Keluarga Malaysia bukanlah sesuatu yang sukar untuk dihadamkan kerana ia sebenarnya berlandaskan nilai-nilai sedia ada dalam setiap keluarga.

“Apa yang dilakukan kerajaan adalah mengharmonikan dan mengangkat nilai-nilai ini sebagai panduan mengukuhkan lagi kekuatan Malaysia dengan keunikan pelbagai agama, bangsa dan kaum,” katanya.

Perdana menteri berkata kesemua nilai Keluarga Malaysia adalah berpaksikan kepada Keluhuran Perlembagaan Persekutuan seperti yang telah termaktub dalam Rukun Negara.

“Ibarat sepohon pokok, akar Keluarga Malaysia bertunjangkan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, manakala batang dan ranting menjulang kukuh nilai-nilai Keluarga Malaysia, yang kemudiannya membuahkan hasil seperti daun, bunga dan buah yang subur dan inayahnya, memanfaatkan rakyat.

“Inilah metafora Keluarga Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata majlis prapelancaran hari ini merupakan manifestasi hasrat dan komitmen kerajaan untuk meningkatkan usaha menyebar luas konsep dan hala tuju Keluarga Malaysia, agar ia dapat difahami dan dihayati setiap lapisan masyarakat. “Ia seiring dengan perjalanan kita memulih dan mengembalikan negara, daripada impak krisis berkembar kesihatan dan ekonomi yang sedang kita lalui,” katanya. – Bernama