Ismail Sabri terima ucapan tahniah

PUTRAJAYA, 24 OGOS – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terus menerima ucapan tahniah daripada pemimpin dunia di atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Kesembilan Malaysia.

Beliau menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Australia Scott John Morrison serta sepucuk surat daripada Perdana Menteri China Li Keqiang.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, dalam perbualan telefon antara Ismail Sabri dan Morrison hari ini, kedua-dua pemimpin menyatakan komitmen untuk mengukuhkan lagi hubungan erat yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Australia.

Ismail Sabri dalam pada itu menzahirkan ucapan terima kasih kepada Li yang menyampaikan perutusan tahniah kepadanya melalui sepucuk surat bertarikh 23 Ogos 2021.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, Li turut menyatakan komitmen untuk terus mengukuhkan hubungan diplomatik yang terjalin sejak sekian lama, selain mengekalkan hubungan dagang serta berkongsi strategi melawan wabak COVID-19 dengan berkesan.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Sabtu. – Bernama

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima ucapan tahniah daripada Perdana Menteri Australia Scott John Morrison di atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-9 melalui panggilan telefon di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra, semalam. – Bernama