KUALA LUMPUR, 15 DIS – Institut Sukan Negara (ISN) Malaysia akan memperkasa program penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan tumpuan khusus kepada sukan berpotensi tinggi di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 menggunakan peruntukan sebanyak RM15 juta yang disalurkan oleh kerajaan.
Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli bagaimanapun memaklumkan pihaknya perlu menjalankan analisis jurang terlebih dahulu bagi mengenal pasti keperluan sebenar setiap atlet bagi memastikan bantuan diberikan disesuaikan dengan keperluan spesifik mereka.
“Memang untuk Olimpik LA2028, ISN telah diberi sejumlah peruntukan untuk melihat bagaimana kita boleh perkasakan lagi R&D untuk prestasi atlet. Jadi untuk tempoh empat tahun akan datang kita ada RM15 juta yang diberikan oleh kerajaan untuk lihat bagaimana kecerdasan buatan (AI) membantu prestasi atlet.
“Berbasikal trek insya-Allah kita akan teruskan tapi sukan lain macam badminton, skuasy, terjun, angkat berat. Ini semua sukan yang kita akan beri perhatian dan tengok analisis jurang dan apakah bentuk intervensi berdasarkan analisis yang kita buat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Inovasi Teknologi Sukan Kebangsaan 2024 (AITS’24) di Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.
Ahmad Faedzal berkata kejayaan kem berbasikal negara menggunakan basikal baharu WX-R Vorteq untuk Sukan Olimpik Paris 2024 adalah contoh terbaik hasil R&D yang dijalankan oleh pihaknya.
Basikal bernilai RM385,800 sebuah itu dilengkapi dengan teknologi canggih yang telah dinaik taraf bagi memberikan ‘kelebihan kecil’ tetapi signifikan di atas trek sekali gus meningkatkan peluang atlet membuat sensasi tersendiri pada pentas berprestij berkenaan.
“Projek projek basikal trek WX-R Vorteq sebenarnya pembuka mata, ia pengubah keadaan kepada sukan Malaysia dan di situlah kita mula belajar, kita mula faham apakah keuntungan kecil, bagaimana teknologi R&D ni sebenarnya membantu proses atlet.
“Bermula dengan projek basikal WX-R Vorteq kami, kini akan mengaplikasikan kepada sukan-sukan lain yang punya potensi di Olimpik,” katanya.
Beliau berkata sekiranya makin banyak kejayaan R&D seperti pembangunan perisian, analitik dan peralatan baharu yang boleh dikomersialkan untuk kegunaan atlet tempatan dan antarabangsa, pastinya ia mampu dijadikan sebagai satu bentuk pulangan pelaburan (ROI) kepada kerajaan. – Bernama