Israel bedil Syria, 11 maut

BAITULMAQDIS, 21 Jan – Israel melancarkan serangan dalam apa yang digelarnya sebagai serangan yang menyasarkan Iran, di Syria awal pagi hari ini sebagai tindak balas terhadap serangan roket Iran, mencetuskan kerisauan terhadap peningkatan serangan setelah pihak pemerhati melaporkan 11 pejuang terbunuh.

Israel secara terbuka mengaku bertanggungjawab terhadap serangan yang dikatakannya menyasarkan pusat kemudahan yang dimiliki Pasukan Quds daripada Pengawal Revolusi Iran.

Ia berkata serangan itu adalah tindak balas terhadap serangan roket Pasukan Quds yang dilancarkan dari Syria di Dataran Golan Heights pada kelmarin, yang berjaya dipintas oleh pasukan tentera udara Israel.

“Semalam, pasukan Quds Iran yang beroperasi di wilayah Syria melancarkan roket permukaan ke permukaan dari wilayah Syria yang menyasarkan kawasan utara Golan Heights,” kata tentera Israel dalam satu kenyataan.

“Sebagai tindak balas terhadap serangan itu, semalam jet tempur (tentera Israel) melancarkan serangan yang menyasarkan tentera Iran Quds di Syria selain unit pertahanan udara Syria.”

Ia berkata sasaran termasuk tempat penyimpanan peluru, tapak di Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik serta kem perisikan dan latihan ketenteraan Iran. Israel berkata ia juga telah melanda unit pertahanan udara Syria sebagai tindak balas terhadap serangan sebelum ini.

Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan di Syria berkata sekurang-kurangnya 11 pejuang pro-rejim termasuk dua warga Syria terbunuh dalam serangan itu.

Rusia, yang seperti Iran adalah penyokong utama Presiden Syria, Bashar Al-Assad, mengatakan serangan Israel mengorbankan empat askar Syria dan mencederakan enam yang lain. Ia juga merosakkan infrastruktur lapangan terbang Damsyik.

Pihak pemerhati juga berkata serangan udara dan peluru berpandu darat dilancarkan di sekitar ibu negara termasuk berhampiran lapangan terbang Damsyik, serta berhampiran lapangan terbang ketenteraan Thaala. – AFP

Gambar yang diambil awal kelmarin menunjukkan pusat pertahanan udara Syria cuba bertindak balas terhadap serangan peluru berpandu Israel yang menyasarkan Damsyik. – AFP