BAITULMAQDDIS, 15 Ogos – Polis Israel memberkas seorang ketua kumpulan Islam hari ini yang telah berkali-kali dituduh mengapi-apikan keganasan berhubung tempat suci Baitulmaqddis yang sensitif, tempat yang mana tercetus lagi ketegangan bulan lalu.
Raed Salah, yang telah dibebaskan dari penjara pada Januari lalu setelah menjalani hukuman sembilan bulan, dituduh mengapi-apikan keganasan dan pengganasan dan juga menyokong serta terlibat dalam pertubuhan haram, menurut polis.
Kumpulannya, cabang utara Pergerakan Islam di Israel telah diisytihar kumpulan haram pada tahun 2015 selepas ia dituduh mengapi-apikan keganasan berkaitan halaman masjid Haram al-Sharif, Baitulmaqddis, yang dikenali sebagai Temple Mount oleh orang Yahudi.
Polis hari ini berkata dalam kenyataan bahawa Salah, berketurunan Israel Arab dituduh secara terbuka menyokong tindakan ganas ke atas negara beberapa kali ekoran pengharaman ke atas pertubuhannya.
Tidak jelas sama ada tuduhan itu berkaitan dengan kekacauan yang telah mengakibatkan kematian di persekitaran tempat suci itu, yang termasuklah di masjid Al-Aqsa dan Qubbah As-Shakhrah (Kubah Batu).
Keganasan meletus dalam dan sekitar halaman itu selepas tiga orang berketurunan Israel Arab menembak mati dua anggota polis Israel pada 14 Julai. – AFP