Israel digesa henti projek penempatan di Tebing Barat

PARIS, 28 OKT – Kumpulan 12 negara Eropah hari ini menggesa Israel membatalkan rancangan membina 3,000 penempatan baharu di tanah yang dijajah di Tebing Barat.

Ia dibuat sehari selepas Amerika Syarikat (AS) mengkritik rancangan itu dan kali ini, Perancis, Jerman, Belgium, Denmark, Sepanyol, Finland, Ireland, Itali, Norway, Belanda, Poland dan Sweden mengeluarkan kenyataan bersama.

“Kami mendesak Israel membatalkan keputusan untuk membina penempatan membabitkan pembinaan kira-kira 3,000 unit kediaman di Tebing Barat.

“Kami mengulangi tentangan kuat terhadap dasar perluasan penempatan di seluruh wilayah Palestin yang diduduki. Ini melanggar undang-undang antarabangsa dan menjejaskan usaha penyelesaian dua negara,” kata menteri luar 12 negara berkenaan.

Semalam, Israel mengambil langkah baharu dalam memperluaskan skop pembinaan kediaman di Tebing Barat itu, yang turut dikecam Palestin.

Jurucakap badan tentera menyelia hal awam di wilayah Palestin berkata jawatankuasa perancangan Pentadbiran Awam tertinggi mengeluarkan kelulusan akhir kepada pembinaan 1,800 rumah dan pengesahan awal untuk 1,344 rumah lagi.

Sekitar 475,000 penduduk Yahudi Israel tinggal di penempatan di Barat, yang ditakrifkan haram mengikut undang-undang antarabangsa, namun mereka mendakwa tanah Palestin adalah masa depan mereka. – AFP

Kerja pembinaan di penempatan Givat Zeev, Israel, dekat bandar Ramallah, Palestin. – AFP