Israel dijadual capai perjanjian pulihkan hubungan

BAITULMAQDIS, 14 SEPT –  Delegasi Israel diketuai Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berlepas ke Washington pada malam semalam untuk menghadiri majlis menandatangani perjanjian mengenai pemulihan hubungan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain, lapor agensi berita Xinhua.

Turut serta dalam delegasi itu termasuk ketua agensi perisikan Mossad Israel, Yossi Cohen dan Penasihat Keselamatan Negara, Meir Ben-Shabbat.

“Malam ini, saya akan memulakan misi bersejarah bagi pihak rakyat Israel,” kata Netanyahu pada sidang media pagi semalam, sambil menambah perjanjian itu akan membawa ‘perdamaian dan berbilion dolar untuk ekonomi (Israel).’

Sementara itu, Cohen berkata Israel berhasrat untuk mencapai perjanjian damai dengan ‘lebih banyak negara.’

Majlis yang dijadual diadakan esok di Rumah Putih, bakal dihadiri Presiden Donald Trump, Menteri Luar  UAE, Abdullah bin Zayed dan Menteri Luar  Bahrain, Abdullatif bin Rashid Al Zayani. – Bernama