Wednesday, April 24, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Israel, Hamas berbalas serangan

    BAITULMAQDIS, 27 JAN – Pejuang Gaza melepaskan roket dan tentera Israel melancarkan serangan udara awal hari ini ketika ketegangan memuncak berikutan serbuan Israel di Tebing Barat yang mengorbankan sembilan warga Palestin, termasuk sekurang-kurangnya tujuh orang pejuang dan seorang wanita berusia 61 tahun.

    Ia merupakan serbuan paling berdarah di wilayah itu dalam tempoh lebih dua dekad.

    Keganasan yang tercetus memberikan ujian awal untuk kerajaan sayap kanan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan membayangi lawatan Setiausaha Negeri Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken yang dijangka membuat kunjungan ke rantau itu minggu depan.

    Lima roket yang dilepaskan ke Israel, tiga daripadanya berjaya dipintas, manakala satu jatuh di kawasan terbuka dan satu lagi jatuh di Gaza, menurut kenyataan tentera.

    Mereka berkata serangan udara menyasarkan kawasan pembuatan roket bawah tanah milik Hamas dan kawasan-kawasan latihan pejuang.

    Serangan balasan pejuang Palestin telah menyebabkan siren dibunyikan di selatan Israel namun tiada laporan korban jiwa di kawasan tersebut.

    Kedua-dua serangan roket Palestin dan serangan udara Israel dilihat terbatas bagi mencegah tercetusnya peperangan berskala penuh.

    Israel dan Hamas terlibat dalam peperangan selama empat tahun dan kadangkala berlaku pertempuran kecil sejak kumpulan pejuang menguasai Gaza daripada tentera Palestin pada 2007.

    Serbuan yang dilakukan kelmarin di khemah pelarian Jenin berkemungkinan dilanjutkan hari ini ketika penduduk Palestin berkumpul bagi menunaikan solat fardu Jumaat yang selalunya disusuli dengan bantahan.

    Hamas sebelum ini mengancam untuk membalas dendam atas serbuan yang dilakukan oleh tentera Israel. – AP

    Serangan udara yang dilakukan oleh tentera Israel di Tebing Barat, baru-baru ini. – AP
    Para penyelamat Palestin memeriksa bangunan yang musnah akibat diserang oleh tentera Israel.- AP
    Penduduk Palestin bertempur dengan tentera Israel susulan serbuan yang dilakukan di Tebing Barat, kelmarin.- AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...