BANDAR GAZA, 17 MEI – Israel melancarkan serangan bertalu-talu di beberapa bahagian di kota Gaza yang disekat pada Isnin, menurut wartawan agensi Anadolu.
Pesawat perang Israel mengebom banyak sasaran di selatan, barat, dan utara Gaza pada waktu malam, lapor wartawan.
Menurut saksi, beberapa kawasan milik pejuang Palestin, ladang pertanian, jalan raya dan infrastruktur menjadi sasaran serangan itu. Beberapa pusat keselamatan di selatan dan barat kota diruntuhkan.
Serangan itu menyebabkan kerosakan besar pada banyak bangunan, rumah, dan jalan. Bekalan elektrik turut terputus di kawasan berdekatan sasaran, kata mereka.
Kapal perang Israel yang ditempatkan di laut juga melepaskan tembakan ke pantai Gaza. Belum ada kenyataan yang disiarkan mengenai sasaran berkenaan.
Sementara itu, sayap ketenteraan gerakan pejuang Palestin, Briged Ezzeddin al-Qassam, mengatakan serangan Israel terhadap orang awam dibalas dan mereka membedil roket ke bandar Beersheba dan Ashkelon, dan juga menyasarkan beberapa kawasan penempatan. – Bernama
