Israel lancar serangan udara baharu di Gaza

BANDAR GAZA, 16 OGOS – Tentera Israel berkata hari ini bahawa pihaknya melakukan serangan udara baharu ke atas kedudukan Hamas di Semenanjung Gaza dan menutup zon penangkapan ikan di enklaf Palestin sebagai tindak balas terhadap serangan roket dan bom api yang dihantar ke wilayah Israel, dengan diikat pada belon.

Serangan itu dibuat selepas pertempuran pada malam semalam di sepanjang sempadan Gaza-Israel, kata tentera.

Puluhan rakyat Palestin ‘merusuh membakar tayar, melempar alat letupan dan bom tangan ke arah pagar keselamatan dan cuba mendekatinya,” kata Angkatan Pertahanan Israel (IDF) dalam satu kenyataan.

Sejak minggu lalu, pasukan Israel melakukan serangan berulang kali pada waktu malam terhadap sasaran yang ada kaitan dengan kumpulan Islam Hamas, yang menguasai Semenanjung Gaza.

Tentera berkata mereka bertindak balas terhadap penggunaan bom api yang diikat pada belon dan layang-layang, yang dihantar ke bahagian selatan Israel, dan menyebabkan ribuan kebakaran berlaku di ladang serta dalam komuniti Israel.

Terdapat 19 serangan oleh Palestin dalam satu hari sahaja semalam, demikian menurut perkhidmatan menyelamat Israel. – AFP

Kelihatan asap dan api selepas kapal terbang tentera Israel melancarkan serangan udara di Khan Yunis, Semenanjung Gaza kelmarin. – AFP