Friday, December 6, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Israel mengaku bertanggungjawab letupan di Lubnan

    TEL AVIV, 11 NOV – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kelmarin mengaku bertanggungjawab buat kali pertama ke atas letupan alat kelui besar-besaran yang menggegarkan Lubnan hampir dua bulan lalu, menurut Agensi Anadolu.

    “Terdapat pegawai kanan dalam pentadbiran pertahanan dan eselon politik yang bertanggungjawab terhadap mereka yang menentang operasi alat kelui serta penghapusan (pemimpin Hizbullah) Hassan Nasrallah,” kata Netanyahu semasa mesyuarat Kabinet kelmarin seperti yang dipetik oleh Channel 12 Israel, lapor Agensi Anadolu.

    “Sebelum operasi alat kelui, mereka memberitahu saya bahawa Amerika Syarikat akan menentangnya, tetapi saya tidak mendengar mereka,” tambahnya.

    Ini adalah kali pertama seorang pegawai tinggi Israel secara terbuka mengaku bertanggungjawab ke atas letupan besar-besaran peranti komunikasi tanpa wayar di Lubnan.

    Sekurang-kurangnya 26 orang terbunuh dan lebih 3,200 yang lain cedera apabila ribuan alat kelui meletup di beberapa kawasan di Lubnan pada 17 dan 18 September.

    Nasrallah dibunuh dalam serangan udara Israel di selatan Beirut pada 27 September.

    Serangan udara Israel di Lubnan telah berlangsung sejak akhir September, dengan alasan menyasarkan kedudukan Hizbullah, peningkatan dalam serangan rentas sempadan selama setahun sejak konflik Gaza bermula.

    Lebih 3,100 orang terbunuh dan lebih 13,800 yang lain cedera dalam serangan Israel sejak Oktober 2023, menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan.

    Israel melancarkan serangan darat ke selatan Lubnan pada 1 Oktober. – Bernama

    Benjamin Netanyahu bercakap semasa dalam satu upacara di tanah perkuburan tentera Mount Herzl di Baitulmaqdis pada 27 Oktober. Israel mengaku bertanggungjawab dalam letupan di Lubnan. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda