Israel mula roboh kediaman Palestin

SUR BAHER, 22 JULAI – Israel mula memusnahkan beberapa rumah penduduk Palestin yang dianggap dibina secara haram di selatan Baitulmaqdis awal hari ini, dalam tindakan yang membimbangkan masyarakat antarabangsa.

Puluhan polis dan tentera Israel mengepung sekurang-kurangnya empat bangunan di kawasan Sur Baher yang berhampiran dengan sekatan keselamatan Israel.

Jentera kemudian mula memusnahkan bangunan dua tingkat yang baru separuh dibina.

Wartawan dilarang memasuki kawasan itu manakala penduduk dan aktivis diheret keluar dari rumah mereka.

Seorang lelaki menjerit “Saya mahu mati di sini!”, selepas dihalau keluar.

Pasukan keselamatan Israel merobohkan salah sebuah bangunan milik warga Palestin yang masih dalam pembinaan di selatan Baitulmaqdis awal kelmarin. – AFP

Ismail Abadiyeh, yang tinggal di salah sebuah bangunan diugut keluar bersama keluarganya, berkata mereka akan kehilangan tempat tinggal.

“Kami akan tinggal di tepi-tepi jalan,” katanya kepada AFP.

Bangunan berkenaan terletak dengan halangan pemisah Israel yang memutuskan Tebing Barat dan wilayah Yahudi yang dikatakan mereka dibina terlalu dekat dengan tembok itu.

Penduduk Palestin menuduh rejim Zionis menggunakan alasan keselamatan untuk memaksa mereka keluar dari kawasan itu sebagai sebahagian usaha meluaskan penempatan dan jalan raya menghubungkan wilayah berkenaan.

Mereka juga menunjukkan bahawa sebahagian besar bangunan terletak di kawasan bawah kawalan awam Palestin di bawah perjanjian antara kerajaan Palestin dan Israel.

Kerajaan Palestin berkata, perobohan itu adalah satu pelanggaran kepada semua perjanjian yang ditandatangani oleh mereka dengan Israel.

“Apa yang menyakitkan di sini ialah operasi perobohan itu adalah perobohan terbesar dan paling berbahaya,” kata Walid Asaf, menteri Palestin yang bertanggungjawab memantau penempatan Israel, dalam video dari tapak perobohan itu.

“Operasi ini bertujuan untuk menghancurkan Baitulmaqdis dari Bethlehem (di Tebing Barat selatan),” tambahnya. – AFP