Israel, Palestin berdepan sekatan baharu

TEL AVIV, 5 JULAI – Israel mengarahkan ribuan orang dikuarantin selepas program pengawasan telefon diteruskan tatkala penduduk Palestin di Tebing Barat kembali kepada lockdown selepas kedua-dua kawasan melihat peningkatan dalam kes koronavirus.

Satu kenyataan hari ini daripada Kementerian Kesihatan Israel berkata ‘banyak’ mesej telahpun dihantar kepada penduduk Israel berikutan penglibatan baharu agensi keselamatan domestik Shin Bet.

Selepas mengenakan langkah ketat pada awal gelombang pertama jangkitan, wilayah Israel dan Palestin nampaknya berjaya mengawal wabak mereka, dengan setiap wilayah melaporkan puluhan kes baharu sehari pada Mei. Namun pelonggaran sekatan membawa kepada pertambahan dalam kes sejak sebulan lalu.

“Kami berada pada kemuncak serangan korona baharu. Ia adalah wabak amat kuat yang sedang menular di dunia dan juga di sini,” kata Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada mesyuarat kabinet hari ini.

“Kami berada dalam keadaan darurat,” kata beliau, menambah Israel perlu bertindak keras untuk mengawal virus tersebut.

Israel kini melaporkan kira-kira 1,000 kes baharu sehari, lebih tinggi daripada kemuncaknya semasa gelombang sebelumnya dan ia dijangka mengenakan semula sekatan dalam respons terhadap virus, mengehadkan jumlah pengunjung dalam bar, tempat beribadat dan acara kepada 50 orang. Ia juga mewajibkan rakyat memakai penutup mulut dan hidung dan menggesa penjarakan sosial yang lebih ketat. – AP