Israel selayaknya ‘penjenayah perang’

TEHRAN, 15 Mei – Iran berkata bahawa para pegawai Israel seharusnya dibicarakan sebagai penjenayah perang atas ‘pembunuhan beramai-ramai’ terhadap pembantah-pembantah Gaza kelmarin.

“Pembunuhan ke atas kanak-kanak, wanita dan penduduk Palestin yang tidak bersenjata serta pencerobohan tanah Palestin telah menjadi strategi utama Zionis selama lebih 70 tahun penjajahannya,” kata seorang jurucakap Kementerian Luar, Bahram Ghasemi di laman sesawang kementerian itu.

Dia menggesa masyarakat dunia untuk mengambil ‘tindakan segera’ dan membicarakan pemimpin-pemimpin Israel sebagai ‘penjenayah perang di mahkamah antarabangsa’.

Sekurang-kurangnya 59 orang penduduk Palestin terkorban dan beribu-ribu lagi cedera diserang tentera Israel kelmarin, semasa bantahan di sepanjang sempadan Gaza bagi membantah pembukaan kedutaan baru Amerika Syarikat (AS) di Baitulmaqdis.

“Perbuatan jenayah secara berterusan Zionis di Palestin adalah disebabkan sokongan buta AS,” kata Ghasemi.

Gas pemedih mata telah dilancarkan ke arah para pembantah semasa pertempuran dengan tentera Israel berdekatan dengan sempadan Gaza dan Israel, susulan tindakan kontroversi AS memindahkan kedutaannya ke Baitulmaqdis. – AFP

Dia menuduh negara-negara di rantau itu, merujuk kepada musuh Iran, Arab Saudi, sebagai ‘khianat dan tidak berbuat apa-apa’ atas kegagalannya untuk mengutuk sekuat-kuatnya tindakan Israel.

Speaker parlimen, Ali Larijani berkata bahawa keputusan AS untuk memindahkan kedutaannya ke Baitulmaqdis adalah sebahagian daripada usahanya untuk menjejaskan institusi antarabangsa, seperti pengunduran diri negara itu dari perjanjian iklim Paris dan nuklear Iran.

“Kesemua ini menunjukkan Amerika mahu memusnahkan institusi antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu,” katanya kepada parlimen hari ini.

Kelmarin, Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif mengumumkan ‘hari yang sangat mengecewakan’.

“Pembunuhan beramai-ramai rejim Israel ke atas penduduk Palestin ketika mereka membuat bantahan di penjara terbuka terbesar di dunia,” katanya di Twitter. – AFP