Israel tahan dua tokoh budaya Palestin

BAITULMAQDIS, 23 JULAI – Anggota keselamatan Israel menahan pasangan suami isteri yang juga tokoh budaya Palestin yang berpengaruh di rumah mereka di timur Baitulmaqdis, selepas disyaki ‘membiayai aktiviti keganasan.’

Rania Elias, yang memimpin Pusat Budaya Yabous dan suaminya, Suhail Khoury, yang juga Ketua Pengarah Edward Said National Conservatory of Music ditahan di rumah mereka di kawasan perumahan Beit Hanina.

Mereka dibebaskan petang semalam ‘dengan syarat,’ beritahu peguam Elias Nasir Odeh kepada AFP, tanpa memberikan butir lanjut.

Lokasi mereka bekerja juga diserbu oleh polis dan penyiasat cukai dan dokumen turut dirampas.

Odeh berkata pasangan itu ditahan mengikut pendakwaan menyumbang kewangan kepada pertubuhan pengganas. Malah, beliau menekankan undang-undang antikeganasan Israel termasuk kesalahan yang luas, salah satunya menerima wang daripada organisasi yang dilabelkan sebagai pengganas.

Jurucakap polis Israel, Micky Rosenfeld dalam satu kenyataan pula berkata, penahanan suspek itu disebabkan mempunyai hubungan dengan aktiviti mengelak cukai dan penipuan namun beliau tidak menyebut nama individu berkenaan.

Rosenfeld turut berkata, individu yang ditahan itu sudah diambil keterangan lanjut dan siasatan masih berjalan. – AFP