Israel tangkap keluarga tahanan larikan diri

RAMALLAH, PALESTIN, 10 SEPT – Tentera Israel membuat lebih banyak tangkapan hari ini ke atas keluarga enam tahanan Palestin yang berjaya melarikan diri, menurut sebuah badan peguam bela, ketika pasukan tentera terus melakukan pemburuan besar-besaran di Tebing Barat yang dijajah.

Israel telah mengerahkan tentera ke wilayah Palestin sejak Isnin lalu apabila enam warga Palestin melepaskan diri dari penjara Gilboa yang memiliki keselamatan tinggi di utara Israel melalui terowong yang digali di bawah singki dalam penjara.

Dua adik beradik lelaki dan seorang adik perempuan yang disyaki dalang Mahmud Ardah ditangkap hari ini di kampung Arraba berhampiran Jenin di utara Tebing Barat, kata Kumpulan Tahanan Palestin.

Ardah, anggota kumpulan pejuang Islam Jihad, telah dipenjarakan seumur hidup sejak tahun 1996 kerana peranannya dalam serangan membunuh.

Saudara-mara yang lain daripada enam pelarian tahanan itu, semuanya dari kawasan Jenin, ditangkap Rabu lalu dan ditahan, menurut kumpulan penyokong Palestin.

Pasukan keselamatan Israel berjalan di kawasan masjid Al-Aqsa semasa solat Jumaat di Baitulmaqdis. – AFP

Tentera Israel tidak mempunyai komen segera mengenai penangkapan hari ini.

Bercakap semasa lawatan ke pusat pemeriksaan antara Israel dan Tebing Barat, Menteri Pertahanan Benny Gantz berjanji “Cepat atau lambat, kita akan menemukan orang-orang yang kami cari.”

Gantz menegaskan bahawa Israel tidak mahu kehadiran tentera di wilayah tersebut menyebabkan berlakunya perbalahan.

“Ini enam orang daripada berjuta-juta yang tinggal di sini,” katanya. “Kita harus dapat menangani enam dan rakan mereka tanpa mengganggu keseimbangan lain di sini.

“Saya harap hari ini akan berakhir dengan tenang, tentera bersedia bagi sebarang perkembangan,” kata Gantz. – AFP