Israel terus lakukan serangan di Gaza

BAITULMAQDIS, 24 OGOS – Tentera Israel mengatakan hari ini bahawa mereka telah kembali menyerang sasaran Hamas di Semenanjung Gaza semalam, sebagai pembalasan serangan belon dan roket yang dilancarkan dari wilayah Palestin.

Israel telah mengebom Gaza, yang dikendalikan oleh kumpulan Islam Hamas, hampir setiap hari sejak 6 Ogos, sementara belon yang membawa bom api telah menyerang Israel dari Gaza.

Delegasi Mesir telah berusaha untuk meredakan ketegangan kepada gencatan senjata tidak rasmi.

“Siang hari, belon peledak dan bom api dilancarkan dari semenanjung Gaza ke Israel,” kata Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dalam satu kenyataan.

“Sebagai tindak balas, beberapa ketika yang lalu, jet pejuang, kereta kebal dan pesawat IDF menyerang pos tentera dan infrastruktur bawah tanah” milik Hamas di selatan Gaza, katanya.

Pada Khamis lalu, pejuang Gaza menembak belasan roket ke Israel, sebagai tindak balas terhadap serangan udara di sebuah kilang pembuatan roket dan infrastruktur bawah tanah. Sementara itu, petugas pemadam kebakaran Israel terus memadamkan kebakaran di ladang dan kawasan semak yang disebabkan oleh belon api yang dilancarkan dari Gaza.

Mesir telah bertindak untuk menenangkan ketegangan dalam beberapa tahun kebelakangan untuk mencegah perang berulang antara Israel dan Hamas sejak tahun 2008. Serangan terbaharu Israel berlaku sebelum Setiausaha Negara AS Mike Pompeo tiba ke Tel Aviv untuk memulakan lawatan kerja lima hari ke Timur Tengah. – AFP