Israel terus tekan rakyat Palestin

BAITULMAQDIS, 10 Julai – Israel semalam telah menutup satu-satunya kawasan untuk menyalurkan barang-barang ke Semenanjung Gaza selepas berlakunya insiden kebakaran selama berminggu-minggu di ladang, berpunca akibat layang-layang dan belon yang membawa bola api dari enklaf Palestin.

Tindakan membakar dengan sengaja itu telah meningkatkan keadaan cemas dalam kalangan penduduk dan petani Israel yang tinggal di kawasan berdekatan Semenanjung Gaza yang dikepung dan mendesak pihak berkuasa untuk mengenakan tindakan.

“Laluan barang-barang ditutup kecuali bagi peralatan kemanusiaan (termasuk makanan dan perubatan) akan dibenarkan secara individual,” menurut kenyataan pihak ketenteraan Israel.

“Tiada eksport atau pemasaran barangan akan dibawa keluar dari Semenanjung Gaza.”

Ia menambah langkah berkenaan adalah disebabkan ‘percubaan pengganasan tambahan’, yang merujuk kepada tindakan penyusupan dan insiden lain yang berlaku di sempadan Gaza.

Gambar fail bertarikh 20 April 2018 menunjukkan pembantah Palestin menerbangkan layang-layang bersama bola api ketika bantahan dilancarkan di sempadan Semenanjung Gaza berdekatan Israel. – AP

Laluan yang dikenali sebagai Kerem Shalom, kekal ditutup sehingga notis seterusnya.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata dia dan Menteri Pertahanan Avigdor Lieberman telah bersetuju untuk ‘menindas rejim Hamas dengan segera di Semenanjung Gaza’.

“Akan ada tindakan seterusnya. Saya tidak akan memberitahunya dengan terperinci,” katanya semasa di parlimen.

Pergerakan Hamas di Semenanjung Gaza berkata penutupan itu sebagai ‘jenayah ke atas kemanusiaan’.

“Hamas telah meminta komuniti antarabangsa untuk masuk campur dengan segera bagi menghalang jenayah ini,” menurut kenyataan jurucakap Hamas, Fawzy Barhoum. – AFP