Israel tunda sesi parlimen, ahli dijangkiti virus

BAITULMAQDIS, 4 JUN – Parlimen Israel memberitahu pekerja supaya tinggal di rumah dan membatalkan mesyuarat penggubal undang-undang hari ini, selepas seorang anggota Senarai Bersama pimpinan Arab diuji positif dijangkiti koronavirus.

“Memandangkan MP Sami Abu Shahadeh dijangkiti koronavirus, semua pekerja Knesset telah diarahkan supaya tidak datang ke parlimen, jika kerja mereka tidak penting,” kata satu kenyataan dari parlimen.

“Selain itu, sehingga semua kesan kompleks dikaji, semua mesyuarat jawatankuasa yang dijadualkan hari ini terpaksa ditunda,” tambahnya.

Abu Shahadeh, penduduk Jaffa, memberitahu radio awam bahawa dalam tempoh 10 hari lalu, beliau telah bertemu ‘ribuan’ orang, termasuk demonstrasi, serta pekerja di seluruh Knesset. Beliau dan anggota Senarai Bersama lain juga telah mengunjungi khemah pengebumian di timur Baitulmaqdis untuk Iyad Hallak, lelaki autistik Palestin berusia 32 tahun yang ditembak mati oleh polis Israel pada Sabtu apabila mereka tersilap memikirkan dia bersenjatakan sepucuk pistol.

Abu Shahadeh berkata beliau rasa sihat selepas menerima keputusan ujian positif pada petang semalam.

Penutupan parlimen diadakan tatkala pihak berkuasa Israel berusaha menghadapi dan mengatasi peningkatan dalam jumlah orang yang diuji positif koronavirus, selepas membuka semula sekolah dan perniagaan pada akhir Mei. Israel mencatat lebih 17,300 jangkitan dan lebih 290 kematian dalam kalangan penduduk berjumlah sembilan juta. – AFP