Issey teruja isteri pindah KL

Selepas hampir sebulan berjauhan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penyampai radio dan pelawak, Issey, gembira isterinya bakal berpindah ke sini, bulan hadapan.

Issey atau nama sebenar, Fazlisham Mat Hussin, 32, menganggap berita itu sebagai hikmah besar di sebalik pelaksanaan PKP.

“Alhamdulillah, isteri saya sudah mendapat surat pertukaran di mana bulan hadapan, dia akan bekerja di Kuala Lumpur. Saya percaya ini adalah hikmah di sebalik tempoh berjauhan kami akibat PKP.

“Allah mahu mengajar saya bersabar sekejap. Kali terakhir kami berjumpa seminggu sebelum PKP. Memang rindu, apatah lagi kami baru berkahwin.

“Jika diikutkan, sejak Disember, kami tidak pernah gagal berjumpa. Ada sahaja masa bersama sekurang-kurangnya, seminggu sekali,” katanya kepada BH Online.

Issey bersyukur isteri akan berpindah ke Kuala Lumpur, bulan hadapan. – Agensi

Issey menamatkan zaman duda dengan rakan sekolah, NoorAimi yang bekerja sebagai pengurus sumber manusia berasal dari Kelantan, pada 22 Disember tahun lalu.

Sejak bernikah, Issey dan isteri bergilir-gilir datang menjenguk, sama ada dia ‘terbang’ ke Kota Bharu, atau NoorAimi datang ke sini. Namun, apabila PKP dilaksanakan, mereka tidak dapat berjumpa.

“Kami mengamalkan hubungan jarak jauh. Kami berjumpa seminggu sekali atau dua minggu sekali. Jika isteri saya tidak datang ke Kuala Lumpur untuk urusan kerja, saya pulang ke Kelantan,” katanya.

Issey berkata, sejak isteri tidak dapat datang ke sini, banyak perkara terpaksa dilakukan sendirian.

“Kalau dulu isteri akan kemas rumah apabila dia pulang ke sini, tapi sekarang kena kemas sendiri.

“Dahulu apabila tinggal sendirian, saya beli sahaja makanan. Sekarang, dalam keadaan begini, saya terpaksa teroka dapur dan masak sendiri berpandukan maklumat daripada internet,” katanya. Bagaimanapun, Issey mengaku mempelajari banyak perkara malah berterima kasih dengan teknologi kerana menghubungkan keluarganya. –Agensi