KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) akan meneliti semua laporan daripada pengadil dan menonton ulang tayang video sebelum membuat sebarang keputusan berhubung tindakan skuad sepak takraw wanita Indonesia meninggalkan gelanggang semasa perlawanan menentang Malaysia, semalam.
Setiausaha Agung ISTAF Datuk Abdul Halim Kader berkata insiden itu tidak sepatutnya berlaku kerana pasukan Indonesia boleh menggunakan saluran yang betul seandainya ingin melakukan protes dan bukannya bertindak memberhentikan perlawanan dan meninggalkan stadium begitu sahaja.
“Jadi kita akan meneliti semua laporan daripada pengadil termasuk melihat kepada ulang tayang video sebelum menjatuhkan hukuman terhadap republik itu,” katanya kepada pemberita pada sidang media hari ini.
Menurutnya, Indonesia mungkin telah melakukan kesalahan di bawah paraturan 9.7 buku teknikal sepak takraw yang dikeluarkan oleh MASOC (Jawatankuasa Pengelola Malaysia). – Bernama