Istana dibina semula

KABUL – Istana Darul Aman yang telah dibina semula dengan warna putih dan kuning, terletak di barat Kabul dan akan dibuka semula untuk orang ramai dalam masa yang terdekat ini.

Istana yang pernah menjadi simbol kekuasaan dan kemodenan yang dibina oleh Raja Amanullah Khan, setahun selepas kemerdekaan Afghanistan itu telah mengalami kerosakan ketika peperangan yang terjadi pada tahun 1990.

Ia dibina semula sejak tiga tahun lalu dan pihak kerajaan merancang untuk membukanya semula pada hari kemerdekaan negara pada 19 Ogos.

“Kerja binaan semula Istana Darul Aman dijalankan pada tahun 2016 dan sekarang 95 peratus daripada kerja itu telah selesai. Selebihnya akan siap dalam beberapa hari sahaja lagi,” kata Jawed Hemmad, yang mengetuai pembinaan semula istana itu kepada Xinhua sambil menambah bahawa semua jurutera dan pekerja-pekerjanya adalah warga Afghanistan.

Menurut pegawai rasmi, pihak kerajaan telah memperuntukkan 20 juta dolar untuk membina semula Istana Darul Aman itu dan kumpulannya telah membelanjakan AS$10 juta untuk membina semula dengan bentuk yang asal.

Beberapa pekerja Afganistan sedang membina semula istana itu. – Xinhua
Gambar menunjukkan Istana Darul Aman sedang di dalam pengubahsuaian di Kabul, ibu kota Afghanistan. – Xinhua

Dalam 60 peratus daripada 150 buah bilik, yang dahulunya dijadikan sebagai bilik tetamu kerajaan, mesyuarat kabinet dan kementerian pertahanan dalam beberapa waktu yang berbeza telah musnah sebelum ini.

Walaupun Afghanistan masih berdepan dengan bayangan konflik dan keganasan, Hemmad berharap bahawa negara itu akan mendapat kemakmuran yang sepatutnya dan membina semula monumen yang bersejarah.

Walau bagaimanapun, beberapa buah negara tidak bersetuju untuk membinanya semula dengan alasan bentuk asal istana itu perlu dikekalkan untuk diperlihatkan kepada generasi baharu bagi mengingatkan sejarah negara itu.

Tetapi pihak kerajaan membuat keputusan yang berani untuk menghapuskan warisan perang yang menjejaskan pengubahsuaian istana, taman dan jalan utama.

“Kami sangat bangga dengan kejayaan kami, kerana sebagai penduduk Afghanistan, kami berjaya membina semula monumen bersejarah kami dengan biayaan rendah dan kualiti yang sangat baik,” kata Hemmad.

“Bilik yang berjumlah 150 buah pada tingkat pertama dan kedua akan digunakan untuk muzium budaya kebangsaan selepas perasmiannya dan tingkat ketiga akan digunakan untuk bilik tetamu mengikut pangkat-pangkat istana seperti presiden. – Xinhua