Isteri PM Lesotho didakwa kes bunuh

MASERU, 5 FEB – Wanita pertama Lesotho bakal didakwa berhubung kes pembunuhan isteri pertama Perdana Menteri Thomas Thabane iaitu Lipolelo, 58, pada 2017.

Al-Jazeera melaporkan polis tempatan berkata bahawa Maesaiah Thabane, 42, yang sebelum melarikan diri ke luar negara pada 10 Januari lalu ditahan selepas pulang ke Lesotho, petang semalam.

Dia kemudian menyerah diri kepada polis.

Difahamkan, Maesaiah sebelum ini bersembunyi di negara jiran, Afrika Selatan.

Penolong Pesuruhjaya Polis Mokete Paseka berkata, Maesaiah ditahan di lokap sementara menunggu pihak pendakwaan menyediakan kertas pertuduhan.

Beliau berkata polis mempunyai kes yang kuat terhadap wanita pertama itu.

Sebelum ini, waran tangkap dikeluarkan terhadap wanita itu selepas beliau enggan memberi keterangan kepada polis berhubung siasatan kes bunuh berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan bahawa pembunuhan itu berlaku dua hari sebelum Thomas dilantik menjadi Perdana Menteri Lesotho untuk penggal kedua, pada tahun 2017.

Ia juga selepas dua tahun mahkamah memutuskan bahawa Lipolelo adalah isteri pertama Thomas yang sah di samping layak menerima faedah dan keistimewaan.

Thomas 80, mengahwini Maesaiah, dua bulan selepas kematian isteri pertamanya.

Dua minggu lalu, polis menyiasat Thomas berhubung dakwaan telefon bimbitnya digunakan untuk berhubung dengan seseorang yang dikatakan berada di tempat kejadian bunuh itu.

Beliau juga sudah mengumumkan hasrat untuk meletak jawatan pada bulan lalu, selepas partinya beranggapan lelaki itu sudah tidak sihat untuk bertugas.

Bagaimanapun, Thomas tidak memberikan tarikh tertentu tetapi memberitahu akan berbuat demikian selepas semuanya berada ‘dalam keadaan baik’.

Kes pembunuhan itu menggemparkan negara kecil itu yang sebelum ini berdepan dengan sejarah pergolakan politik yang panjang.

Pegawai kanan kerajaan parti pemerintah, All Basotho Convention (ABC), menuduh Thomas cuba menutup siasatan kes berkenaan. – Agensi