Isteri terkejut berita palsu Zul Zivilia dihukum gantung

Baru-baru ini tersebar satu khabar kononnya vokalis kumpulan Zivilia iaitu Zul bakal dikenakan hukuman gantung akibat penyalahgunaan dadah.

Sedih mendengar berita palsu tersebut, isteri kepada Zul iaitu Ratno Pardinah turut meluahkan rasa bimbang jika ia memberi kesan kepada anak-anaknya.

“Sedih mendengar berita palsu tersebut. Sekarang ini kami menjalani proses pemulihan dan tiba-tiba ada berita sebegini.

“Saya takut ia memberi kesan kepada anak-anak apabila dapat tahu tentang berita ini. Apa lagi jika mereka terbaca kisah saya menangis kerana menunggu Zul dihukum gantung,” katanya seperti yang dipetik dari Detik Hot.

Susulan penyebaran berita palsu tersebut, Retno bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebar fitnah berkenaan.

Zul kini sedang menjalani hukuman penjara. – Agensi

Pada masa yang sama, peguam yang mewakili Zul iaitu Umar Bonte memberitahu bahawa penyanyi lagu Aishiteru itu kini dalam keadaan baik dan sedang menjalani hukuman penjara.

“Jika penyebar tidak meminta maaf atau memadamkan cerita tersebut, kami akan mengambil tindakan undang-undang.

“Sehingga kini Zul dalam keadaan baik. Saya sendiri terkejut dengan berita dihukum gantung kerana tidak diberitahu tentang hal tersebut,” katanya.

Zul sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara selama 18 tahun atas kesalahan dadah.

Dia ditahan di kediamannya pada Mac 2019 dan ketika itu pihak polis menemui dadah terlarang jenis syabu seberat 9.5 kilogram dan 24,000 biji pil ekstasi. – Agensi