Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Istiadat Menghantar dan Menerima Tanda Diraja disempurnakan

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Muiz Matdani & Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JAN – Majlis Istiadat Menghantar dan Menerima Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja bagi Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah dengan Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi telah berlangsung petang ini.

    Tanda diraja dan pertunangan diraja disembahkan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

    Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan berangkat ke Majlis Istiadat Menerima Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja di Istana Nurul Iman.

    Terdahulu majlis telah dimulakan dengan Majlis Istiadat Menghantar Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja yang berlangsung di Darussidiq, Jerudong.

    Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen yang memangku Istiadat Perkahwinan Diraja bagi pengantin diraja lelaki berangkat ke majlis tersebut.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan berangkat ke Majlis Istiadat Menerima Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja di Istana Nurul Iman.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen menyabdakan supaya istiadat dimulakan dan menyabdakan YAM Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit mengepalai rombongan menghantar tanda diraja dan pertunangan diraja ke Istana Nurul Iman.
    Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan menyembahkan kepada YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bahawa Majlis Istiadat Menerima Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja telah siap sedia.
    Awang-Awang yang membawa gangsa-gangsa bawa-bawaan yang berisi sepangadak pakaian, sepasang gelang, sepasang subang dan sepasang cincin dua belah jari.
    Awang-Awang yang membawa gangsa berisi surat mahar dan gangsa-bangsa ganti-gantian duduk di tengah-tengah majlis.
    Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan menjunjung anugeraha untuk mengadap kehadapan majlis DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan menyembahkan bahawa Majlis Istiadat Menerima Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja telah siap sedia.
    Rombongan menghantar tanda diraja dan pertunangan diraja tiba di Istana Nurul Iman.
    Dayang-Dayang membawa gangsa-gangsa tempat menyalin bawa-bawaan pada majlis berkenaan.
    Awang-Awang membawa Dian 16 ketika menghantar tanda diraja dan pertunangan diraja ke Istana Nurul Iman.
    Tembakan meriam sebanyak 17 das menandakan tanda diraja dan pertunangan diraja telah diterima.

    Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia didahului oleh hulubalang diraja membawa Pemuras dan Karga sementara hulubalang asgar yang membawa Kelasak dan Kampilan serta diiringi oleh pembawa-pembawa alat-alat Perhiasan Empat Duli Yang Teramat Mulia.

    Keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dijunjung oleh Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim, YAM Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit, YAM Pengiran Ratna Wijaya Brigadier Jeneral (B) Pengiran Haji Hasnan dan Awang Nabil Mahmoud Abdulkadir Al-Hashimi.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dijunjung ke bilik khas.

    Di Dewan Cempaka, Darussidiq, majlis bermula dengan Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Mohd Jaafar menjunjung anugeraha untuk menyembahkan kepada YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim bahawa Majlis Istiadat Menghantar Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja telah siap sedia.

    YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad menyabdakan Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan untuk mengadap dan menyembahkan kehadapan majlis DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Mohd Jaafar menjunjung anugeraha untuk mengadap ke hadapan majlis DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Duli Yang Teramat Mulia menyabdakan supaya istiadat dimulakan dan seterusnya menyabdakan YAM Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit mengepalai rombongan menghantar tanda diraja dan pertunangan diraja.

    Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Mohd Jaafar menyembahkan sabda yang dijunjungnya kepada YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad.

    YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad menyabdakan supaya istiadat dimulakan.

    YAM Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad menyabdakan kepada YAM Pengiran Sanggamara Diraja supaya mengepalai rombongan menghantar tanda diraja dan pertunangan diraja ke Istana Nurul Iman.

    Rombongan menghantar tanda diraja dan pertunangan diraja kemudiannya berangkat ke Istana Nurul Iman.

    Tanda diraja terdiri daripada seorang kanak-kanak perempuan yang berpakaian bergelang Pengaluan, bergelang Geronchong, memakai subang dan berbunga Serondoh yang dituntun oleh Pengarah Haji Abdul Rahman dan diiringi oleh seorang muda-muda dan diiringi oleh Pengiran Empat diikuti oleh Awang-Awang yang membawa gangsa-gangsa bawa-bawaan yang berisi sepangadak pakaian, sepasang gelang, sepasang subang dan sepasang cincin dua belah jari manakala tanda pertunangan diraja terdiri daripada seorang kanak-kanak perempuan yang berpakaian baju kurung memakai gelang Pengaluan, bergelang Geronchong, memakai Kanching, Puntu Azimat, memakai Jamang di kepalanya dan berpanding dituntun oleh Pengarah Haji Abdullah Sunny dan diiringi oleh seorang kanak-kanak lelaki pemutus Tali Jintong yang berpakaian lengkap yang dituntun oleh Pengarah Haji Abdullah dengan diiringi oleh seorang muda-muda, seorang Pengiran Perempuan Berbaju Gadong dan seorang Dayang-Dayang yang membawa Kaskol Langguai, diikuti oleh Awang-Awang yang membawa gangsa yang berisi surat mahar atau berian dan gangsa-gangsa ganti-gantian yang terdiri daripada sepangadak pakaian, sepasang gelang, sepasang subang, sepasang cincin dua belah jari, ceramai, kelakati dan pisau, Dian 16 yang dibawa oleh 16 Awang-Awang masuk ke dalam majlis dan duduk di tengah-tengah majlis.

    Manakala 40 Janar yang disesandangkan di bahu 40 Awang-Awang dan Awang-Awang yang membawa alat-alat kebesaran diraja iaitu terdiri daripada 12 Sinipit, enam Pedang dan Perisai, enam Tumbak Bendarangan dan empat Kabok dan Panastan beratur dan bersedia menunggu di luar majlis.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berangkat ke Majlis Istiadat Menerima Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja yang berlangsung di Dewan Persantapan, Istana Nurul Iman.

    Duli Yang Teramat Mulia sebagai wakil yang dititahkan bagi Majlis Istiadat Menerima Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja.

    Keberangkatan tiba rombongan menghantar tanda diraja dan pertunangan diraja yang dikepalai oleh YAM Pengiran Sanggamara Diraja di Istana Nurul Iman dialu-alukan oleh YAM Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Maharaja Diraja Dato Seri Paduka Haji Abdul Wahab, Yang Dimuliakan Pehin Penyurat Awang Maidin, Yang Dimuliakan Pehin Penyurat Haji Awang Osman, Yang Dimuliakan Pehin Bendahari Haji Awang Abu Bakar, Pengarah Awang Jaini, Pengarah Haji Kilali dan Pengarah Haji Brahim @ Momin termasuk Juru Bini Hajah Rokiah.

    Sebaik-baik sahaja rombongan menghantar tanda diraja dan pertunangan diraja tiba di Pintu Besar, Istana Nurul Iman, tanda diraja yang dituntun oleh Pengarah Haji Abdul Rahman diserahkan kepada Pengarah Awang Jaini yang diiringi oleh seorang muda-muda manakala tanda pertunangan diraja dan seorang kanak-kanak lelaki pemutus Tali Jintong yang dituntun oleh Pengarah Haji Abdullah diserahkan kepada Pengarah Haji Kilali dan Pengarah Haji Brahim @ Momin diiringi oleh seorang muda-muda dan sejurus itu diikuti dengan tembakan meriam sebanyak 17 das sebagai menandakan tanda diraja dan pertunangan diraja telah diterima.

    Apabila ahli rombongan menghantar tanda diraja dan pertunangan diraja telah duduk, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan menjunjung anugeraha untuk menyembahkan kepada YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bahawa Majlis Istiadat Menerima Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja telah siap sedia.

    YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz menyabdakan supaya Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan mengadap kehadapan majlis DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

    Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan menjunjung anugeraha untuk mengadap kehadapan majlis DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan menyembahkan bahawa Majlis Istiadat Menerima Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja telah siap sedia.

    Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia djunjung dan diiringi oleh YAM Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris dan YAM Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin.

    Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia didahului oleh hulubalang diraja yang membawa Pemuras dan Karga dan hulubalang asgar yang membawa Kelasak dan Kampilan serta diiringi oleh pembawa-pembawa alat-alat Perhiasan Empat Duli Yang Teramat Mulia.

    Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan menjunjung anugeraha untuk menyembahkan kepada YAM Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib bahawa Majlis Istiadat Menerima Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja telah siap sedia.

    YAM Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib kemudiannya menyembahkan kehadapan majlis DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik bahawa Majlis Istiadat Menerima Tanda Diraja dan Pertunangan Diraja telah siap sedia.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik menyabdakan supaya istiadat dimulakan.
    YAM Pengiran Sanggamara Diraja masuk ke dalam majlis dan duduk di tengah-tengah majlis diikuti oleh tanda diraja.

    YAM Pengiran Sanggamara Diraja menyembahkan kehadapan majlis DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik tanda diraja dan gangsa-gangsa bawa-bawaan.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik menerima tanda diraja dan pertunangan diraja.

    Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan menjunjung anugeraha untuk mengadap DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

    Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya menyabdakan kepada Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan bahawa tanda diraja dan pertunangan diraja telah pun diterima.

    Setelah itu, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan menjunjung anugeraha keluar dari majlis menuju ke Dewan Resepsi, Istana Nurul Iman bersama-sama dengan tanda diraja.

    Duli Yang Teramat Mulia kemudian dijunjung ke bilik khas dengan diiringi oleh YAM Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib.

    Ketibaan rombongan tanda diraja dan pertunangan diraja yang dibawa oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan di Dewan Resepsi, Istana Nurul Iman dialu-alukan oleh Yang Dimuliakan Pehin Manteri Bini Datin Paduka Hajah Aminah dan Yang Dimuliakan Pehin Jawatan Bini Datin Paduka Hajah Siti.

    Apabila Dayang-Dayang yang membawa gangsa-gangsa tempat menyalin bawa-bawaan telah duduk, Yang Dimuliakan Pehin Manteri Bini Datin Paduka Dayang Hajah Aminah menyembahkan kepada kepala majlis untuk membuka gangsa-gangsa bawa-bawaan.

    Setelah diperkenankan, Pengiran Empat dari kedua-dua belah pihak duduk menghampiri gangsa-gangsa bawa-bawaan. Pengiran Empat daripada pihak pengantin diraja lelaki pula membuka alas gangsa-gangsa bawa-bawaan seterusnya mengeluarkannya lalu diserahkan kepada Yang Dimuliakan Pehin Manteri Bini Datin Paduka Hajah Aminah dan Yang Dimuliakan Pehin Jawatan Bini Datin Paduka Hajah Siti untuk disaksikan kepada kepala majlis, Pengiran Empat daripada pihak pengantin diraja perempuan serta kepada yang hadir.

    Setelah bawa-bawaan disaksikan kepada yang hadir, bawa-bawaan tersebut disimpan ke dalam gangsa-gangsa tempat menyalin bawa-bawaan.

    Sebaik-baik sahaja rombongan membawa tanda diraja dan pertunangan diraja berada di luar Dewan Resepsi, Istana Nurul Iman, Dian 16 yang dibawa oleh 16 Dayang-Dayang yang sedia menunggu di luar Dewan Resepsi, Istana Nurul Iman ikut mengiringi rombongan manakala Juru Bini Hajah Rokiah berjalan di hadapan rombongan.

    Yang Dimuliakan Pehin Manteri Bini Datin Paduka Hajah Aminah dan Yang Dimuliakan Pehin Jawatan Bini Datin Paduka Hajah Siti menyembahkan tanda diraja dan pertunangan diraja kehadapan majlis Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri.

    Setelah disembahkan, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan diikuti Awang-Awang yang membawa gangsa-gangsa yang telah disalin tadi masuk semula ke Balai Persantapan diikuti oleh Dian 16 yang dibawa oleh Awang-Awang dan duduk di tengah-tengah majlis untuk mengadap dan seterusnya menyembahkan kehadapan majlis DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik bahawa tanda diraja dan pertunangan diraja telah pun disembahkan kehadapan majlis Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri.

    Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...