Istiadat pembukaan persidangan MMN 9 Mac

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-16 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) akan dilangsungkan pada Isnin, 9 Mac bertempat di Dewan Persidangan MMN, Jalan Dewan Majlis.

Menurut kenyataan yang diterima di sini, Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-6 MMN akan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dengan pengurniaan titah sebagai bermulanya mesyuarat pertama dari Musim Permesyuaratan ke-16 MMN.

Persidangan tersebut akan dipengerusikan oleh Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib dan dibantu oleh Jurutulis MMN, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar dan Timbalan Jurutulis MMN, Dayang Rose Aminah binti Haji Ismail.

Persidangan MMN memasuki usia 16 tahun persidangan sejak penubuhan semula pada tahun 2004 dan akan membincangkan dan meluluskan perkara utama iaitu Rang Undang-Undang (2020) Perbekalan, 2020/2021; untuk diguna pakai bermula pada 1 April 2020.

Selain daripada belanjawan tahunan, Persidangan MMN juga akan membincangkan isu-isu dan cadangan-cadangan yang bermanfaat kepada negara dan rakyat yang diteliti dan dinilai kesesuaiannya secara terperinci mengikut keperluan dan keutamaannya.

Sesi Persidangan MMN ini dibukakan kepada orang awam yang berminat untuk mendengarkan perbincangan dan perbahasan di dalam Dewan Persidangan MMN. Ianya juga boleh dihadiri oleh mana-mana institusi pendidikan yang berminat untuk memberikan pendedahan kepada penuntut-penuntut atau mahasiswa/mahasiswi dengan tatacara membincangkan sesebuah rang undang-undang di Negara Brunei Darussalam.